Berita Utama

Hua Zong tiada hak campur tangan isu logo halal

Tiba masa tulisan Jawi, simbol Islam tak lagi dipermainkan

BANGI, 7 Zulhijjah 1441H, Selasa – Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat menegaskan, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) tiada hak untuk menghalang bangsa pribumi Melayu Islam memperbaiki serta meningkatkan ekonomi mereka.

Mengulas isu kempen tukar logo halal yang dibantah Hua Zong, Ustaz Masridzi berkata, hak pemberian logo halal adalah di bawah kuasa agensi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam negeri.

“Jadi, bukan hak orang bukan Islam nak memandai. Bahkan selama ini banyak orang Melayu Islam yang tertipu dengan membeli produk bukan Islam melalui lesen halal yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk meletakkan pelbagai kategori warna logo halal itu adalah satu tindakan yang sangat baik kepada keselamatan Islam dan umatnya.

“Perbuatan kilang-kilang produk bukan muslim yang mempergunakan tulisan Jawi dan lambang Islam seperti masjid dan sebagainya jelas begitu lama menipu umat Islam dalam negara kita ini.

“Justeru, sudah sampai masa kerajaan kena perbetulkan perkara ini agar tulisan Jawi, simbol Islam tidak dipermainkan lagi oleh orang bukan Islam dalam bidang perniagaan di negara kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Masridzi berkata, selama ini pengusaha bukan muslim tidak pun peduli soal halal haram dalam produk-produk mereka.

“Kenapa baru sekarang Hua Zong nak bising. Apakah itu petanda ekonomi kaum mereka dah nak tumbang?

“Kepada seluruh umat Islam saya menyeru, teruskan kempen BMF dan pastikan setiap sen duit yang dikeluarkan ke arah memperkasakan produk, pengusaha dan zakat di kalangan umat Islam,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan meminta kerajaan dapat mengambil berat dan menyekat kempen mengkategorikan logo halal itu.

Katanya, ia bukan sahaja tidak sesuai dengan keadaan negara dan merosakkan suasana perniagaan, tetapi turut mewujudkan halangan dan sekatan untuk produk halal Malaysia memasuki pasaran antarabangsa.

Tian Chuan berkata, perdagangan dalam pasaran halal tidak harus menjadi berunsur perkauman dan keagamaan ekstrem.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close