Berita Utama

Kes SRC: Pasukan pembelaan Najib mohon kemuka rayuan pada Isnin

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc membantah permohonan itu

KUALA LUMPUR, 7 Zulhijjah 1441H, Selasa – Sejurus selepas Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, pasukan pembelaannya memohon agar rayuan bagi hukuman yang ringan didengar pada Isnin ini.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kerana beliau akan memanggil seorang atau dua saksi untuk menyokong rayuan berkenaan.

“Ini bukan sesuatu yang baharu untuk menyokong faktor peringanan hukuman. Tidak akan ada prejudis terhadap pihak pendakwaan bagi mahkamah menangguhkan rayuan pada Isnin. Anak guam saya tidak akan ke mana-mana kerana pergerakan negara ini masih disekat kerana pandemik COVID-19, ” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram membantah permohonan itu atas alasan rayuan itu perlu diteruskan memandangkan penghakiman telah diumumkan.

“Yang Arif telah mendapati tertuduh bersalah, biasanya penangguhan selepas sabitan tetapi penangguhan di sini selepas keputusan. Dalam hal ini, jelas prejudis di pihak pendakwaan dan ia situasi yang janggal,” tegas Sithambaram. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button