KPM belum boleh laksana analisis UEC
Ini selepas PPDUEC belum serah sebarang maklumat kajian
BANGI, 7 Zulhijjah 1441H, Selasa – Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ketika ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum dapat menjalankan apa-apa kajian mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ini kerana, Mohd Radzi berkata, Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) masih belum menyerahkan apa-apa laporan walaupun tempoh untuk menyiapkan kajian berkenaan UEC telah dilanjutkan sebanyak enam kali sehingga 16 bulan.
Dedahnya, KPM belum pernah menerima sama ada laporan kajian awal, draf mahu pun laporan lengkap berkaitan UEC dari PPDUEC.
“Oleh itu, KPM tidak dapat menjalankan analisis hasil kajian dari PPDUEC,” katanya seperti dilapor Oriental Daily News, hari ini.
Respon itu merupakan jawapan bertulis Radzi Jidin dalam sidang Parlimen, semalam bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin sama ada KPM telah mengkaji laporan yang dibuat oleh PPDUEC.
Mohd Radzi menambah, PPDUEC ditubuhkan oleh KPM pada 29 Ogos 2018 dengan Menteri Pendidikan pada waktu itu telah memilih tiga orang anggotanya.
Katanya, anggota PPDUEC diberi masa tiga ke enam bulan untuk membuat kajian, walaupun tempoh diberi telah dilanjutkan sebanyak enam kali sehingga 16 bulan tetapi sehingga bulan Februari 2020, PPDUEC masih belum menyerahkan laporan kajiannya.
Katanya lagi, oleh kerana tarikh tamat pada 29 Februari 2020 telah berlalu ia tidak akan dilanjutkan lagi, selain itu pelantikan anggota PPDUEC juga telah tamat pada tarikh tersebut.
Pengerusi PPDUEC, Eddin Khoo ketika ditanya media bulan lalu berkata, walaupun laporan tersebut telah siap, disebabkan keterbatasan yang dialami semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia tidak diserahkan kepada Mohd Radzi.
Menurut beliau, tidak kira perikatan manapun yang menjadi kerajaan, mereka akan menyerahkan laporan.
Lagi pun isu UEC tidak berubah bila kerajaan berubah, hanya menjadi isu yang tidak tepat pada waktunya, katanya lagi.