Berita Utama

13 kes hari ini

Jumlah kumulatif positif COVID-19 kini 8,956 kes

KUALA LUMPUR, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu –  Sejumlah 13 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 8,956 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 13 kes baharu itu, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat rakyat Malaysia dan empat bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Beliau menjelaskan kes import itu dari United Kingdom (dua kes di Kuala Lumpur), India (dua kes di Kuala Lumpur), Filipina (satu kes di Kuala Lumpur), Pakistan (satu kes di Kuala Lumpur), Gambia dan Ukraine masing-masing satu kes di Selangor.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 220 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa COVID-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada lima kes penularan di dalam negara, ia melibatkan tiga kes dalam kalangan warganegara, iaitu di Johor yang berkaitan satu kes saringan di tempat kerja, di Sarawak (satu kes Kluster Sentosa) dan Sabah (satu kes saringan bergejala di Hospital Queen Elizabeth).

Dua kes di kalangan bukan warganegara melibatkan satu kes Kluster Mambong di Sarawak dan satu kes saringan pendatang tanpa izin di Perlis.

Mengenai status terkini Kluster Mambong dan Kluster Sentosa di Sarawak, beliau memaklumkan  setakat jam 12 tengah hari ini, 198 orang disaring di dalam Kluster Mambong melibatkan 188 warganegara dan 10 bukan warganegara.

“Daripada jumlah itu, tujuh dikesan positif COVID-19, dengan dua kes terdiri daripada bukan warganegara, dan sehingga kini 191 didapati negatif,” menurutnya.

Bagi Kluster Sentosa, Dr Noor Hisham berkata 1,026 orang telah disaring dengan 31 dikesan positif COVID-19, 888 negatif dan 107 masih menunggu keputusan.

“Kluster ini telah melibatkan kes sehingga generasi kedua. Punca jangkitan adalah masih di dalam siasatan, namun, hasil siasatan awal mendapati bahawa kemungkinan besar punca adalah daripada aktiviti di dalam komuniti,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan terdapat lima kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 8,612 kes atau 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hanya dua kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 sehingga ini kekal 124 kes, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close