Berita Utama

Al Jazeera: Polis rakam keterangan Rayhan Kabir

Disenarai hitam masuk Malaysia selama-lamanya: KP Imigresen

KUALA LUMPUR, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Polis telah mengambil keterangan lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang muncul dalam sebuah dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ terbitan Al Jazeera baru-baru ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, rakaman percakapan lelaki itu dibuat di Depot Tahanan Imigresen pada hari ini dan semalam.

“Siasatan kes ini sedang giat dijalankan dan rakaman percakapan Md Rayhan akan dibuat lagi jika perlu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai, selepas Jabatan Imigresen memohon bantuan orang awam menjejaki individu berkenaan yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.

Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud pada 25 Julai dilaporkan berkata, lelaki itu akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button