Dunia

Diserang pengganas Israel, Lubnan fail aduan kepada PBB

Beirut komited laksana Resolusi 1701, ada hak pertahan diri

BEIRUT, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Lubnan memutuskan untuk membuat aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung serangan rejim pengganas Israel di bahagian selatan negara itu. 

Bercakap dalam satu sidang media, Menteri Luar Negeri Lubnan, Nassif Hitti berkata, kerajaan negara itu mengecam serangan yang dilakukan rejim Israel, dan akan mengemukakan aduan kepada UNSC. 

“Lubnan tetap komited untuk melaksanakan Resolusi 1701 UNSC, tetapi ada hak juga untuk mempertahankan diri,” tegas Hitti. 

Tentera Israel mengumumkan melancar serangan bom di bandar sempadan Kafr Shuba, didakwa atas faktor keselamatan di sepanjang sempadan Israel-Lubnan. 

Dalam satu kenyataan, rejim itu mendakwa serangan berkenaan bagi menggagalkan cubaan penyusupan masuk Hezbollah di daerah Jabal Ros. 

Bagaimanapun, Hezbollah menolak dakwaan rejim itu, dan menyatakan tiada sebarang pertembungan berlaku di sempadan selatan Lubnan. 

Namun, Hezbollah menegaskan insiden pembunuhan seorang rakyatnya ketika pencerobohan Israel di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik beberapa hari lalu akan dibalas. 

Ketegangan berlaku ketika rejim Israel dalam keadaan berjaga-jaga di sepanjang sempadan utara negara itu, sebagai bersedia dengan sebarang serangan balas daripada Hezbollah. 

Sebelum ini, Hezbollah berjanji akan membalas semula insiden pembunuhan salah seorang anggotanya dalam serangan udara dipercayai dilancarkan oleh Israel, berhampiran Damsyik. 

Susulan ugutan itu, Israel mengerahkan anggota tenteranya mengawal ketat keselamatan di sempadan Lubnan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close