Berita Utama

Dominasi UMNO dalam PN akan kembalikan ‘zaman dahulu’

Henti dominasi sesama sendiri jika tak mahu Melayu terus lemah

BANGI, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Parti-parti Melayu perlu menghentikan pendekatan dominasi sesama sendiri, sebaliknya mengamalkan konsensus bagi mengelakkan perpecahan.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman percaya isu dominasi kini sedang berlaku di dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, UMNO melihat bilangan kerusi sebagai penentu parti mana yang membuat keputusan dan hanya parti mana perlu mengikut.

“Dominasi UMNO dalam PN akan mengembalikan zaman dahulu. Zaman masa depan di tangan ‘warlord’.

“Dominasi boleh dikendalikan jika PN ambil pendekatan konsensus. Konsensus ertinya keputusan penting perlu mendapat persetujuan semua parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bukan hanya UMNO, Ustaz Mohd Hazizi berkata, dalam konteks Gagasan Sejahtera juga menggunakan pendekatan sama oleh PAS, yang mana parti tiada kerusi dikira sebagai penumpang semata-mata, sedangkan maslahah umat perlu dibincangkan dengan penglibatan semua parti Melayu.

“Pendekatan konsensus sepatutnya diamalkan sesama parti-parti Melayu. Sebaliknya mereka mengamalkannya dengan parti Cina seperti MCA.

“Jika MCA berkeras, mereka akan tunduk. Konsensus BN (Barisan Nasional) satu kemestian,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan dominasi menyebabkan UMNO tidak boleh ditegur dan disekat salah guna kuasa pemimpinnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sehingga membawa kejatuhan politik Melayu.

Oleh sebab itu, ia telah menaikkan parti tamak haloba, DAP dan puak liberal, termasuk isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekolah vernakular, tanah rizab Melayu serta semua dasar baik gagal, katanya.

“Gagal kerana tiada ‘check and balance’ atau audit dalaman setara sesama parti dan NGO Melayu, kecuali melalui medan pilihan raya terbuka yang mengundang penyertaan parti cauvinis untuk sama mengambil laba daripada kejatuhan parti Melayu.

“Jika pendekatan dominasi dalam kalangan parti Melayu ini kekal, saya menjangkakan fenomena perpecahan intra dan inter parti Melayu akan berterusan dan umat Melayu akan terus melemah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button