Berita UtamaPendapat

Hagia Sophia: Usaha Turki naikkan identiti pro-Islam

Pemerintahan Erdogan, syiar Islam akhirnya dapat ditegakkan

PADA bulan Julai ini, Presiden Turki iaitu Recep Tayyip Erdogan telah mengumumkan bahawa Hagia Sophia akan ditukarkan statusnya daripada sebuah muzium kepada masjid. Pengumuman ini pasti mencetuskan perasaan gembira kepada seluruh umat Islam amnya kerana penukaran status ini membolehkan Hagia Sophia kembali megah seperti zaman pemerintahan Sultan Muhammad Al Fateh.

Laungan azan juga turut berkumandang dari Hagia Sophia yang mengesahkan bahawa Hagia Sophia benar-benar bertukar menjadi sebuah masjid.

Sudah pasti akan timbulnya persoalan mengapa Erdogan ingin benar menjadikan Hagia Sophia itu sebagai masjid kembali? Mungkin dari sudut pandangan yang mudah tindakan ini sebagai menaikkan kembali maruah Islam. Namun demikian, dalam sudut pandangan politiknya tindakan Erdogan ini dilihat sebagai satu usaha untuk menaikkan identiti Turki yang pro-Islam.

Ini dapat dilihat dalam dasar luar pemerintahan Erdogan yang meletakkan Neo Ottoman sebagai dasar luar Turki. Apabila menyebut “neo”, ia membawa kepada maksud “baharu” dan “Ottoman” merujuk kepada Uthmaniyyah. Jelas dasar Neo Ottoman yang dirangka oleh Erdogan bertujuan untuk menjadikan Turki seakan-akan sebuah negara Uthmaniyyah yang baharu.

Gambar 1: Hagia Sophia bakal menjadi identiti termasyhur Turki selepas ditukar status menjadi sebuah masjid. (Sumber: TRT World)

Untuk membawa Turki menjadi Neo Ottoman, Erdogan sudah mengetahui bahawa kegemilangan Uthmaniyyah itu amat dekat dengan Islam itu sendiri. Namun, perancangan ini mungkin akan dihalang dengan hebat oleh golongan sekular Turki yang dikenali sebagai Kemalis yang amat mengidolakan Mustafa Kemal Ataturk.

Golongan Kemalis ini menganggap Mustafa Kemal sebagai penyelamat Turki daripada dirobek lebih dahsyat oleh kuasa Barat semasa Perang Dunia Pertama seterusnya memudahkan penerimaan fahaman sekular kepada rakyat Turki yang dibawa oleh Mustafa Kemal. Sehingga kini juga golongan tentera Turki merupakan pendukung terkuat fahaman Kemalisme.

Gambar 2: Mustafa Kemal Ataturk disanjung oleh rakyat Turki sehingga kini sebagai penyelamat Turki daripada terus dipecahkan sempadannya oleh negara-negara Eropah. (Sumber: Tutkain)

Bagi membolehkan Turki mendapat identitinya mengikut acuan Neo Ottoman, Kemalis harus dicantas terlebih dahulu. Hasilnya, Erdogan dengan bantuan seorang pendakwah terkenal iaitu Fethullah Gulen pada tahun 2002 telah menggerakkan perancangan untuk mencantas Kemalis melalui gerakan kehakiman dan kepolisan yang dikuasai oleh pengikut Fethullah Gulen yang dikenali sebagai Gulenis.

Melalui perbicaraan Ergenekon pada tahun 2008 dan Sledgehammer pada tahun 2011 yang dihakimi oleh hakim Gulenis, ratusan tentera Kemalis yang berpangkat tinggi telah disingkirkan dengan tuduhan berkomplot untuk menggulingkan kerajaan dengan pelbagai ‘bukti’ yang meragukan yang ditemui oleh polis Gulenis. Mungkin akan ada yang berpendapat setelah Kemalis berjaya dilemahkan sedikit demi sedikit maka Erdogan dapat memerintah dengan baik untuk mencapai misi dasar luar Neo Ottoman namun sangkaan itu kurang tepat.

Selepas Kemalis disingkirkan, Gulenis pula menjadi ancaman di mata Erdogan. Erdogan mungkin berpendapat dan memikirkan bahawa jika Gulenis mampu menyingkirkan Kemalis yang agak begitu kuat di dalam politik Turki, sudah tentu Gulenis mampu melakukan perkara yang sama terhadapnya dan mungkin dengan lebih teruk lagi.

Kudeta 16 Julai 2016 merupakan mahakarya pencaturan Erdogan. Erdogan menuduh Gulen sebagai dalang di sebalik percubaan kudeta tersebut. Gulen pula mendakwa itu adalah sebahagian sandiwara Erdogan. Perkara ini tidak pasti siapa yang betul dan siapa yang salah tetapi yang pasti Erdogan menggunakan ia sebagai asbab untuk dia mencantas ribuan hakim, polis, tentera, pegawai kerajaan dan wartawan yang terdapat kaitan dengan Gulen. Jika beliau mencantas di belakang tabir, rakyat Turki tidak akan melihat dengan jelas dan media pro-Gulen pasti akan menuding jari dan menyalahkan Erdogan.

Gambar 3: Erdogan telah mengubah “rentak persaudaraan” beliau dengan Fethullah Gulen (kanan) daripada seorang sahabat kepada seorang musuh bagi menyelamatkan survival politiknya. (Sumber: Ahval)

Erdogan bertindak bijak untuk membiarkan ia berlaku. Beliau menginginkan rakyat Turki menilai sendiri dengan mengharapkan segala kesalahan akan dipikul oleh Gulenis seterusnya dibenci oleh rakyat Turki mereka sendiri. Erdogan seolah-olah ingin meminjam tangan rakyat Turki untuk mencantas Gulenis seterusnya menobatkan diri beliau sebagai wira massa dan wira demokrasi. Gulenis pula akan dicop sebagai pengkhianat dan musuh awam (public enemy). ‘Parallel state’ yang dibina oleh Gulenis akhirnya berjaya dimansuhkan.

Kesimpulan

Kini, Erdogan mungkin tidak berhadapan dengan masalah untuk merangka dasar Neo Ottoman dan pro-Islam untuk negara Turki yang sebenarnya dilihat amat kontra dengan ideologi Kemalisme. Sebelum Erdogan menjadi Presiden Turki, terdapat presiden Turki lain yang ingin membawa Turki ke arah syiar Islam seperti Adnan Menderes dan Necmettin Erbakan namun ditekan sehingga kuat oleh tentera Turki yang pro-Kemalis. Akibatnya, Adnan Menderes dihukum gantung sehingga mati pada tahun 1961 manakala Necmettin Erbakan meletakkan jawatannya sebagai presiden Turki pada 1997.

Di bawah pemerintahan Erdogan, syiar Islam akhirnya dapat ditegakkan di bumi Turki seperti Uthmaniyyah menegakkan syiar Islamnya, Dasar luar Neo Ottoman telah membentuk negara Turki mempunyai identiti dan jati diri yang jelas serta kuat untuk terus berada dalam pentas geopolitik.

Dengan identiti ini juga Turki mampu menyaingi Russia di sebelah Timur dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) di sebelah barat. Persoalannya, adakah Malaysia mampu membentuk identiti negaranya yang tersendiri? Mungkin usaha penukaran nama daripada Bukit St Paul kepada Bukit Melaka dapat dijadikan sebagai pembuka kepada usaha ini.

Imran Hakimi
Kolumnis Fokus dan Pelajar Jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

Rujukan:
Hakki, T., 2017. A history of Turkey’s AKP-Gulen conflict. London: Routledge.
Kursad, T., 2016. Neo-Ottomanism in Turkish Foreign Policy Through the Lenses of the Principal-Agent Theory. Turkey: Gazi University.

Sumber : http://fokus.my/hagia-sophia-usaha-turki-mencari-identitinya-sendiri/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close