Berita Utama

Jemaah lakukan Tawaf Qudum pada hari pertama musim haji

Ibadah pertama dilaksanakan sejurus masuk Masjidil Haram

KUALA LUMPUR, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Jemaah haji dengan berpakaian ihram melaksanakan Tawaf Qudum (tawaf mula tiba) mengelilingi Kaabah pada hari pertama musim haji tahun ini di kota suci Makkah, menurut laman web Kementerian Media Arab Saudi.

Tawaf itu adalah ibadah pertama yang dilaksanakan sejurus memasuki Masjidil Haram di Makkah.

Jemaah memulakan hari pertama urusan haji mereka selepas menamatkan empat hari kuarantin di Makkah serta kuarantin kendiri selama seminggu di rumah masing-masing, sebagai sebahagian langkah pencegahan ketat bagi membendung wabak COVID-19.

Jemaah pada musim ini dihadkan kepada warganegara serta penduduk tetap Arab Saudi dan mereka perlu memenuhi syarat ditetapkan selain tertakluk kepada prosedur kuarantin.

Individu daripada 160 negara yang menetap di Arab Saudi dipilih untuk menyempurnakan haji tahun ini.

Penduduk tetap ditawarkan sebanyak 70 peratus tempat manakala 30 peratus lagi disediakan untuk warganegara.

Jumlah jemaah tahun ini kurang berbanding 2.6 juta orang tahun lalu bagi memastikan pelaksanaan penjarakan sosial dipatuhi.

Untuk memulakan urusan haji jemaah terlebih dulu pergi ke Miqat al Sail al Kabir (Wadi Muharram) untuk berihram dan memasang niat selepas mereka menamatkan tempoh kuarantin.

Jemaah yang sudah berihram kemudian bergerak ke Makkah untuk melaksanakan Tawaf Qudum sebelum bermalam di khemah di Mina bagi menyempurnakan Hari Tarwiyah (Hari menghilangkan dahaga) diikuti wukuf di Arafah pada hari berikutnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close