Berita Utama

Najib bayar ikat jamin RM1 juta

Perlu lapor diri di balai polis berdekatan 2 kali sebulan

BANGI, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Datuk Seri Najib Razak hadir sekali lagi di Mahkamah Tinggi hari ini bagi membayar ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Bekas Perdana Menteri itu hadir ditemani anak lelakinya, Norashman, selaku penjamin.

Najib, 67, dilihat keluar dari kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi selepas selesai membayar ikat jamin.

Semalam, Najib diperintahkan membayar ikat jamin tambahan RM1 juta selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan semua hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap semua pertuduhan yang dihadapi Najib.

Sebagai syarat tambahan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan CBT dan setiap tiga kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas Mohd Nazlan memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button