Berita Utama

COVID-19: 99.5 peratus kes baharu kategori satu, dua

Tiada negeri catat peratusan pengisian lebih 50 peratus katil ICU

KUALA LUMPUR, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – Malaysia mencatat 10,413 kes baharu COVID-19 semalam dengan 99.5 peratus daripadanya adalah kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 52 kes atau 0.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima dengan 16 kes melibatkan mereka yang tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, 11 kes telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 25 kes telah menerima dos penggalak.

Pertambahan kes baharu semalam menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 negara kini 4,363,024 kes manakala lapan kluster baharu dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kluster aktif kini 112 kluster, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 374 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 154 kes (41.2 peratus) daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 220 kes (58.8 peratus) merupakan kategori satu dan dua.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes sembuh yang dilaporkan semalam juga melebihi kes baharu apabila 13,202 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif kes sembuh 4,209,858.

Bagi penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19 pula, beliau berkata, tiada negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) setakat semalam.

Bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), hanya Perak mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu 71 peratus.

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara semalam pula adalah 0.86, dengan Selangor kekal merekodkan kadar tertinggi iaitu 0.91 manakala Kelantan mencatat kadar paling rendah dengan 0.63.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button