Berita Utama

Polis akan panggil penganjur himpunan sokong Najib

Individu langgar SOP dikenal pasti guna CCTV di mahkamah

KUALA LUMPUR, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil penganjur penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam, susulan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, penganjur akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sebelum ini, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur perhimpunan untuk membawa rombongan pada minggu lepas.

“Ya, kami memang membenarkan pihak penganjur membawa rombongan tetapi bersyarat iaitu dengan mematuhi SOP penjarakan sosial. Apabila kami teliti kejadian semalam, ia bercanggah dan terang-terang melanggar SOP (rombongan tidak patuh SOP penjarakan sosial di mahkamah),” katanya pada sidang media selepas merasmikan IPD Sentul yang baharu, di sini hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan dan nasihat kepada orang ramai supaya mematuhi dan menjaga penjarakan sosial sewaktu berada di kompleks mahkamah berkenaan.

Beliau berkata, individu-individu yang melanggar SOP ketika hadir menyokong Najib akan dikenal pasti menerusi bantuan rakaman kamera litar tertutup di kompleks mahkamah.

Mazlan berkata, masyarakat seharusnya lebih peka tentang perkembangan terkini penularan wabak COVID-19 yang belum ada penghujungnya dengan kes baharu jangkitan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

“Apabila perkara seperti ini (tidak patuh SOP) berlaku, PDRM dan pihak Kementerian Kesihatan akan dipersalahkan, sedangkan Perdana Menteri kita (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah memberitahu supaya menjaga diri sendiri namun mereka tidak mempedulikannya.

Dalam situasi ini, kami tidak mahu mengeruhkan keadaan dan tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mereka yang didapati tidak patuh SOP di kompleks mahkamah itu,” katanya lagi ketika mengulas pandangan orang ramai mengapa polis tidak mengambil tindakan segera untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP.

Beliau berkata siasatan akan diteruskan dan akan dilengkapkan sebelum ia diserah kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selajutnya,” katanya.

Orang ramai semalam melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan penularan COVID-19 dan kewujudan kluster baharu berikutan himpunan orang ramai yang tidak mematuhi penjarakan sosial dan pematuhan SOP di Kompleks Mahkmah Kuala Lumpur semasa mengikuti keputusan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button