Berita Utama

Polis kesan Jho Low di Macau selepas buat beberapa transaksi

'Dia sudah rompak wang negara, kami akan terus buru'

BANGI, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Jutawan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low – yang diburu polis – disyaki bersembunyi di Macau.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, lokasi kedudukan itu dikesan selepas dia dimaklumkan membuat beberapa transaksi ketika berada di Macau.

“Seperti yang sering saya tegaskan sebelum ini bahawa pihak polis tidak pernah berputus asa untuk membawa Jho Low kembali ke Malaysia dan dia sudah merompak wang negara dan kami akan terus memburunya,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak berniat untuk melengah-lengahkan pemburuan ahli perniagaan itu yang dianggap penting bagi membantu siasatan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, selain Jho Low, pihak polis juga mendapati ahli keluarganya turut dikesan sedang berada di sekitar Hong Kong.

“Pihak polis tidak akan berhenti selagi dia tidak dipenjarakan atas kesalahannya,” katanya.

PDRM pernah mendedahkan kesulitan dihadapi dalam usaha membawa pulang Jho Low, terutama kurangnya kerjasama negara tertentu yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian ahli perniagaan itu ketika ini.

Abdul Hamid juga pernah meluahkan rasa kecewa dengan tindakan negara terbabit yang dianggap tidak ikhlas dan menyukarkan tugas PDRM memburu Jho Low, termasuk menghubungi rakan sejawatnya di negara berkenaan.

Jho Low, Nik Faisal, Eric Tan Kim Loong, Casey Tang, Jasmine Loo Ai Swan dan Geh Choh Heng adalah antara individu dikehendaki oleh pihak berkuasa negara ini sejak 2015, berhubung siasatan berkaitan SRC International dan 1MDB.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close