Polis Perak cari 3 individu gagal hadir ujian kedua COVID-19
Mereka beri maklumat seperti nombor telefon, alamat palsu
IPOH, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Polis sedang mengesan tiga individu diklasifikasikan sebagai pesakit di bawah pengawasan (PUS) yang didapati gagal hadir ujian saringan kedua COVID-19 di Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, ia berikutan mereka memberikan maklumat peribadi seperti nombor telefon bimbit dan alamat yang palsu.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak merekodkan seramai 2,140 pesakit PUS dengan 1,687 daripadanya telah tamat menjalani tempoh Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) manakala selebihnya belum selesai.
“Setiap hari kita di pusat panggilan IsoCare Centre (ICC) akan menghubungi mereka melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan video untuk memastikan mereka berada di rumah.
“Hanya tiga individu ini sahaja kita gagal kesan kerana mereka memberikan alamat dan nombor telefon yang tidak betul,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai persediaan pasukan keselamatan itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini, Razarudin berkata pihak polis sentiasa bersedia termasuk dari segi keanggotaan dan logistik. – Bernama