Berita Utama

Program subsidi petrol tidak akan dilaksana

Elak jurang harga tinggi antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar bagi menggantikan mekanisme subsidi petrol semasa, yang diusulkan oleh kerajaan pada pembentangan Bajet 2019, tidak akan dilaksanakan, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, kementeriannya dan Kementerian Kewangan (MoF) telah bersetuju untuk tidak melaksanakan PSP.

Beliau berkata, susulan daripada mesyuarat bersama pada 9 Julai lalu mengenai hala tuju PSP, pihak MoF akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri untuk memuktamadkan pendirian kerajaan berkaitan dengan PSP tersebut.

“Sebab-sebab untuk tidak melaksanakan adalah yang pertama, untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan penduduk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana hanya penduduk Semenanjung Malaysia sahaja yang terlibat dengan subsidi ini.

“Dan (yang kedua adalah) untuk mengelakkan berlakunya jurang harga petrol yang tinggi di antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PH-Setiu) berhubung perancangan baharu kerajaan untuk subisidi minyak pada masa hadapan.

Pada 18 Disember 2019, Kabinet telah memutuskan bahawa pelaksanaan PSP yang dijadualkan bermula Januari 2020 tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

Rosol berkata keputusan untuk tidak melaksanakan PSP adalah juga kerana untuk mengelakkan timbulnya keraguan dalam kalangan rakyat berkenaan ketelusan dalam pemberian subsidi itu.

Terdahulu, kerajaan pada 7 Oktober 2019 telah mengumumkan pelaksanaan PSP dengan sejumlah RM2.4 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan subsidi itu. Peruntukan yang disediakan menerusi Belanjawan 2020 tersebut dijangka akan memanfaatkan sejumlah lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.

Dilaporkan, jumlah penggunaan petrol RON95 negara sekitar 14.4 bilion liter setahun, sekali gus bermakna jumlah subsidi ditanggung kerajaan untuk RON95 sahaja sebesar RM4.32 bilion setahun.

Harga siiling RON95 yang ditetapkan oleh MoF adalah pada paras RM2.08 seliter.

Hari ini, harga petrol RON95 bernilai RM1.68 seliter berbanding RM1.72 seliter, minggu lalu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button