Berita Utama

Vaksin: Polis nasihat mana-mana pihak jangan hasut

Polis sentiasa melakukan pemantauan di media sosial bagi tujuan itu

ARAU, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat supaya tidak mengambil vaksin COVID-19 dengan menyebar maklumat palsu bagi memburukkan penggunaannya.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata polis sentiasa melakukan pemantauan di media sosial bagi tujuan itu.

Katanya perbuatan menghasut boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan ketakutan kepada orang awam selain boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menimbulkan rasa takut terhadap orang awam.

“Apa yang penting adalah vaksin ini selamat digunakan apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjadi orang petama menerima suntikan vaksin tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menerima 100 bungkusan makanan bagi program Singgah Front Liner anjuran Persatuan Wartawan Perlis (PWP) di Sekatan Jalan Raya (SJR) Ulu Pauh di sini hari ini.

Turut hadir dalam program pertama anjuran PWP yang baru ditubuhkan awal tahun ini ialah Presiden PWP Mohamad Asri Shafii, Exco Teknologi Maklumat dan Komunikasi Rozieana Ahmad serta beberapa sukarelawan.

Rozieana berkata kewujudan PWP tepat pada masanya dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat dan mengajak masyarakat lebih menghargai peranan petugas barisan hadapan dalam melindungi orang ramai daripada bahaya wabak COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button