Berita UtamaIstimewa

Dong Zong rakus, resolusi penting diri, tak peka keadaan semasa

Tuntutan nampak sangat ibarat menahan lukah di pergentingan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 9 Zulhijjah 1441H, Khamis – Resolusi yang diluluskan dalam Mesyuarat Agong Dong Zong bagi tahun 2020 boleh dianggap melampau serta tidak kena pada masa, ketika negara masih dalam proses pemulihan susulan pandemik COVID-19.

Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily melaporkan, Mesyuarat Agung Dong Zong meluluskan tujuh resolusi yang mana antaranya menuntut pengenalan tulisan Jawi di sekolah dilaksanakan seiring dengan pengenalan seni kaligrafi kaum lain.

Manakala, enam lagi resolusi lain yang diluluskan adalah mengenai semakan semula Akta Pendidikan 1996, menubuhkan jawatankuasa pemantau pendidikan serta penyaluran peruntukan secara adil kepada semua jenis aliran pendidikan.

Pertubuhan pendesak itu turut menuntut kerajaan menyegerakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), mengembalikan status perundangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan pengecualian cukai tambahan ke atas pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dan institusi pendidikan persendirian.

Mengulas perkara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan tujuh resolusi dinyatakan Dong Zong ketika negara cuba bangkit dari krisis COVID-19 adalah mementingkan diri dan tidak kena pada masa.

“Sikap Dong Zong khasnya mewakili masyarakat Cina dilihat sebagai rakus. Daripada semua tuntutan itu nampak sangat mereka ini menahan lukah di pergentingan, mengambil kesempatan sewaktu pihak lain dalam kesempitan.

“Bahkan, semua tuntutan itu juga melihatkan sikap yang boleh dikatakan tidak peka terhadap keadaan negara kita yang sifatnya majmuk,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, Kok Seong menempelak resolusi Dong Zong untuk menubuhkan jawatankuasa pemantau pendidikan bagi memantau penguatkuasaan awam dan mencegah salah guna kuasa dalam Kementerian Pendidikan (KPM).

“Bagi saya itu biadab iaitu mengusulkan satu jawatankuasa pemantau. Selama ini mereka mendapati KPM banyak memperdaya, menipu mereka, jadi tubuh satu jawatankuasa pemantuan di situ melihatkan mereka sudah keterlaluan bahawa mereka mempunyai syak wasangka terhadap kerajaan yang bagi mereka tidak adil,” katanya.

Isu pengiktirafan UEC sejak kebelakangan ini semakin ‘panas’. Terdahulu, Pengerusi Terhormat Hua Zong, Tan Sri Lim Huah Leong meminta semua pemimpin pertubuhan Cina ‘berdiam diri’ dalam beberapa isu termasuklah berbincang secara terbuka mengenai UEC.

Huah Leong dilaporkan berkata, situasi politik semasa tidak stabil dan jika pemimpin pertubuhan Cina berterusan meminta pengiktirafan UEC, mereka akan terjerumus ke dalam perangkap.

Bagaimanapun Dong Zong dilaporkan seolah-olah tidak bersetuju gesaan Hua Zong, sebaliknya bertegas untuk tetap konsisten dengan pendirian mereka berhubung isu pengiktirafan UEC.

Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim menegaskan semua pertubuhan Cina konsisten dalam pendirian mereka untuk mendapatkan pengiktirafan UEC, namun melalui pendekatan yang lebih lembut.

Memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Orientaldaily, Tai Kim turut berharap supaya kerajaan menambah peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan merancang berhubung terus dengan Kementerian Pendidikan (KPM) mengeni perkara itu.

Katanya, Dong Zong akan menyerahkan memorandum supaya peruntukan untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan SJKC dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2021, dengan mengekalkan RM50 juta atau menambah jumlah itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close