Berita Utama

‘Cukup-cukuplah beri talian hayat kepada MCA’

Sampai masa MCA tunjuk kejantanan di kawasan Cina

BANGI, 5 Rejab 1443H, Isnin – Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu memberi perhatian terhadap saranan akar umbi UMNO agar pembaharuan dilakukan dalam pemilihan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan tidak lagi mengambil kira kerusi tradisi sebagai kriteria utama.

Saranan disuarakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Senator Datuk Jefridin Atan atas dasar kriteria itu tidak lagi relevan berikutan perubahan kehendak dan keperluan pengundi masa kini.

Katanya, BN perlu lebih terbuka mengikut selera pengundi berdasarkan majoriti kaum di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Istilah kerusi tradisi sama ada bagi UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan digunakan pucuk pimpinan tertinggi BN dalam pembahagian kerusi pada PRN Johor.

“Jika majoriti di sesuatu kawasan DUN itu Melayu, sudah tentu, kena akur wakil rakyat di situ mestilah daripada UMNO begitu juga sekiranya kawasan itu majoritinya masyarakat Cina, MCA yang perlu bertanding, janganlah sesekali diletak calon Melayu.

“Kehendak rakyat perlu diberikan keutamaan, kita sudah tidak boleh terima parti-parti komponen yang rakyat sendiri sudah tidak selesa dengan mereka,” katanya.

Mengulas perkara itu, pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengakui, teruja dengan pandangan berkenaan meskipun ia telah dilontarkan beliau sebelum ini, namun tidak dipedulikan.

Katanya, sudah sampai masanya MCA menunjukkan kekuatan dan kejantanan mereka di kawasan orang Cina seiring dengan nama parti itu.

“Cuba fikir sejenak, DAP tidak letak nama Cina dalam partinya, tetapi menang besar kawasan majoriti Cina. Kenapa?

“Contoh, Parlimen Tanjung Piai, kerusi ini sepatutnya ditandingi UMNO bukan MCA. MCA hanya layak diberikan satu DUN sahaja (Pekan Nanas), dalam Parlimen Tanjung Piai. Itu pun atas belas ehsan, bukan atas nama kerusi tradisi,” katanya sinis.

Pada masa sama, beliau menggesa tindakan memberi talian hayat kepada MCA dihentikan.

“Jika parti ini mesra Islam, masih boleh diterima lagi. Masalahnya perkaumannya sangat menebal. Sentuh sahaja sekolah Cina, dialah yang akan melompat lebih DAP daripada DAP.

“Sebut sahaja RUU355, parti inilah yang paling kuat menentang. Fikir-fikirkan,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/02/07/kerusi-tradisi-tak-relevan-lagi-yang-kalah-umno-mca-menang-selesa/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button