Berita Utama

PRN: MUDA dijangka tak menang sebarang kerusi

Segmen dibawa parti masih taktikal, tak wakili golongan muda sepenuhnya

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 23 Muharam 1445H, Khamis – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dijangka tidak akan memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Menegaskan perkara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, ini kerana segmen yang dibawa parti itu masih taktikal selain gagal membawa satu naratif yang benar-benar mewakili orang muda.

“Tidak langsung (menang kerusi). Sebab kalau nak harap orang muda memberi undi semata-mata susahlah nak dapat.

“Tengok seperti tak boleh pergi. Dan segmen parti itu masuk pun segmen orang muda bandar dan berpendidikan. Jadi ia tidak memberikan refleksi orang muda sebenar.

“Apatah lagi majoriti orang muda tidak datang daripada segmen itu. Demografi orang muda ini berbeza-beza,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net.

Ditanya sama ada akan berlaku pecahan undi susulan penyertaan MUDA pada PRN ini, Mujibu berkata, tindakan parti itu mempertaruhkan seramai 19 calon sedikit sebanyak akan menjadi faktor perpecahan undi pada Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana, katanya, kerusi DUN yang dipilih untuk ditandingi oleh MUDA majoritinya berada di kawasan bandar.

Pemilihan itu berkemungkinan kerana mereka sedar akan ketidakmampuan menang di kawasan lain terutama di luar bandar.

“Contoh, parti itu tidak bertanding di Marang dan Jeneri. Di Selangor, parti itu tidak bertanding di Sungai Ramal tapi di Bukit Antarabangsa.

“Secara umum parti itu sasar kerusi-kerusi (ditanding) PH,” katanya.

Sebelum ini, MUDA menegaskan penyertaannya dalam pilihan raya bukan untuk memecah undi sebaliknya untuk membawa suara nurani rakyat.

Ia juga dipercayai dipandu oleh layanan PH terhadap parti itu yang dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk mengajaknya bekerjasama.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan niat parti itu untuk bekerjasama dengan PH bukan sekadar tidak dilayan, malah diperlekehkan.

Justeru, beliau menegaskan anggapan yang menuduh pihaknya ‘tergesa-gesa’ dan enggan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak berasas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button