Berita UtamaPendapat

Aidiladha tanda kemenangan Islam

Korbankan masa, tenaga, wang, pastikan kedudukan tertinggi Islam

1. BERSEMPENA Hari Raya Aidiadha yang akan disambut pada 10 Zulhijjah 1441H, saya mewakili semua warga Parti Berjasa ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha, wakullu ‘am wa antum bikhair!

2. Hari Raya Aidiadha adalah hari kebesaran yang diraikan oleh Islam sebagai tanda kemenangan umat Islam dalam perjuangan mentaati perintah Allah SWT dan RasulNya, serta berkorban demi agama Islam yang tercinta ini.

3. Jika pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas, kita meraikan hari raya dengan jihad dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19, alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT pada kali ini banyak kelonggaran telah diberi untuk merentas negeri, melakukan solat Aidiladha, ibadat korban dan lain-lain.

4. Marilah kita jadikan sambutan Aidiladha pada tahun ini dengan mengingati kebesaran ibadat haji, pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail A.S serta yang berkaitan dengannya.

Kita perlu bermuhasabah melihat sepanjang hidup kita ini, berapa banyak pengorbanan yang telah kita lakukan untuk menegakkan agama Allah ini.

5. Islam menuntut kita mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk memastikan agama Allah ini berada dalam kedudukan tertinggi dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Ini dapat dilakukan jika kita berjaya membina dan mengangkat tamadun Islam ke satu tahap yang tertinggi dan menggantikan semua tamadun yang merosakkan umat.

6. Berjasa juga ingin mengajak kita semua untuk mempertahankan yang hak (kebenaran) dan menegakkan keadilan bagi memastikan kesempurnaan insaniah (kemanusiaan) dalam memburu kebahagiaan sebenar di dunia dan akhirat.

7. Akhir sekali, jangan kita lupa rangkap-rangkap dalam lafaz takbir raya dimana kita sering diingatkan tentang peristiwa Perang Ahzab.

Pada perang ini umat Islam ketika itu diserang dari setiap penjuru sebagaimana juga yang berlaku pada hari ini. “Allah telah membenarkan janjinya, membantu hambanya, dan mengalahkan pakatan al-Ahzab dengan sendirinya.”

Takbir ini bukan sekadar mengingatkan kita tentang kesusahan perjuangan Rasulullah membawa tauhid, ia juga adalah ikrar kita untuk memerangi kekufuran, sekalipun dibenci oleh orang kafir.

Ia termaktub dalam lafaz: “Dan kami tidak menyembah selain Allah, dalam keadaan ikhlas dan bagiNya adalah agama (kami patuh ajaran agama), sekalipun dibenci oleh orang kafir.”

Sedarlah kita bahawa inilah takbir yang kita ikrarkan setiap hari perayaan. Orang beriman tidak bimbang dibenci golongan kafir ketika berjuang meletakkan Islam di posisi yang tertinggi.

8. Semoga dengan semangat pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha ini akan menjadikan kita orang yang lebih dekat dan bertakwa kepada Allah SWT dalam menunaikan tanggungjawab kita, iaitu memperjuangkan agama Allah SWT untuk membangunkan semula satu peradaban Islam yang gemilang di masa akan datang.

9. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd!

Datuk Dr. Ir. Ts Badhrulhisham Abdul Aziz
Presiden BERJASA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close