Berita Utama

Batal pas lawatan warga asing enggan bayar kos kuarantin

Gagal patuh SOP akan dikenakan tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR, 9 Zulhijjah 1441H, Khamis – Jabatan Imigresen Malaysia akan membatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang bagi warga asing yang enggan membayar kos kuarantin.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, keengganan mereka membayar kos itu akan menjejaskan usaha kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan COVID-19.

“Antara jenis pas yang terlibat ialah pas suami atau isteri kepada warganegara, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Penggajian (ekspatriat), Pas ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H) dan lain- lain kategori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati semua warga asing dan rakyat tempatan mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini oleh agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik COVID-19.

“Mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika ingkar arahan atau gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” tegasnya.

Berkuat kuasa 24 Julai lepas, kerajaan mewajibkan semua rakyat tempatan yang pulang dari luar negara serta warga asing yang diberi kebenaran memasuki negara ini menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan serta perlu menanggung kos kuarantin.

Bagi warga asing, mereka dikehendaki menanggung sepenuhnya kos kuarantin berkenaan manakala rakyat tempatan pula perlu membayar kira-kira 44 peratus daripada kos tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button