Berita Utama

Syor imarahkan lagi tulisan Jawi, penerbitan buku dwibahasa

Kita boleh buat edisi Rumi, pada masa buat juga buku edisi Jawi

BANGI, 9 Zulhijjah 1441H, Khamis – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyarankan tulisan Jawi diimarahkan lagi di tempat awam supaya dapat membina sikap penerimaan rakyat terhadap salah satu tulisan bahasa kebangsaan itu.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan turut mengesyorkan penggunaan tulisan Jawi dimulakan di jabatan agama, institusi ataupun agensi kerajaan yang berkaitan agama seperti yang telah dilaksanakan di Johor.

Sambil mengucap tahniah dan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kerana mengumumkan Kempen Hari Jumaat Hari Jawi, beliau berkata, itu titik permulaan yang baik.

“…seperti yang kita harapkan ia menjadi suatu dasar seluruh kerajaan negeri menyambut Hari Jawi pada Hari Jumaat dan perlu ada pengisian,” katanya kepada TV Pertiwi.

Selain itu, Awang Sariyan yang juga Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencadangkan supaya tulisan Jawi diperkenalkan lagi dalam penerbitan buku termasuk permainan riadah seperti Sahibba.

“Tapi yang penting pada saya adalah penerbitan kalau ada edisi Jawi. Dulu pernah ada edisi Rumi edisi Jawi untuk novel dan buku-buku tertentu.

“Di China bagi saya menarik kerana mengikut pengalaman saya bekerja di sana, banyak buku terbitan bentuk dwibahasa iaitu dua tulisan satu bahasa Cina dan satu lagi bahasa Inggeris.

“Oleh itu, di Malaysia kita boleh buat edisi Rumi, buku yang sama ada edisi Jawi. Itu juga dapat mengimarahkan tulisan Jawi. Kos mungkin lebih kerana dua kali ganda namun boleh difikirkan kaedah untuk menampung kos itu,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Kempen Hari Jumaat Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menterinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat 8 Julai.

Tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button