Berita Utama

Tebus RM50 kredit ePenjana mulai esok

Tempoh akhir guna ePENJANA pada 30 September

BANGI, 9 Zulhijjah 1441H, Khamis – Rakyat Malaysia boleh menebus RM50 kredit ePenjana mulai 31 Julai daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet yang dipilih kerajaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, tiga penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih untuk melaksanakan inisiatif ini ialah Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet.

“Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama aplikasi pengesan kontak COVID-19 MySejahtera. Untuk memohon kredit, setiap pemohon mesti memuat turun salah satu dari tiga eDompet berkenaan, serta memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Inisiatif ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas, serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun. Setiap pemohon yang layak boleh menebus RM50 kredit ePENJANA daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-Dompet terpilih (Boost, GrabPay atau Touch ‘n Go eWallet).

“Pemohon yang layak juga akan menerima padanan insentif tambahan bernilai RM50 dalam bentuk rebat tunai, baucar dan/atau mata ganjaran sepanjang tempoh kempen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, tempoh memohon RM50 kredit ePENJANA adalah dari 31 Julai hingga 24 September, 2020, manakala tarikh akhir penggunaan ePENJANA adalah pada 30 September, 2020.

“Pemohon disaran memuat turun dan mengemas kini data di dalam aplikasi MySejahtera, manakala peniaga dan peruncit perlu menghubungi penyedia perkhidmatan e-Dompet yang berkenaan, dan mendapatkan kod QR MySejahtera bagi memastikan urus niaga ePENJANA yang lancar di kedai-kedai mereka.

“Rakyat juga diingatkan bahawa bagi tujuan pelaksanaan ePENJANA, Kementerian Kewangan hanya mengiktiraf aplikasi MySejahtera, Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet. Pastikan data peribadi hanya dikongsi dengan aplikasi yang rasmi dan sahih,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan inisiatif yang akan dilaksanakan menerusi program ePENJANA bernilai RM750 juta bermula bulan ini.

Inisiatif itu yang dijangka memanfaatkan kira-kira 15 juta rakyat adalah usaha kerajaan untuk menggalakkan pembayaran tanpa sentuh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button