Berita Utama

Tolong buang sikap taksub pada ahli politik, ‘salah pun jadi betul’

Sanggup dedahkan diri dengan wabak, ingkar SOP kerana fanatik

BANGI, 9 Zulhijjah 1441H, Khamis – Sikap taksub kepada ahli politik harus dibuang kerana usaha memartabatkan agenda Melayu dan Islam adalah lebih mulia.

Demikian nasihat pemerhati politik, Ustaz Ibrahim Hassan al-Hafiz susulan khuatir senario politik hari ini membawa kepada politik fanatik individu sehingga apa jua yang dilakukan oleh seseorang itu semua betul, walaupun pada hakikatnya adalah salah dan telah diputuskan di mahkamah.

Beliau berkata, apabila perkara sedemikian berlaku, ia membutakan mata hati pentaksub politik daripada melihat kebenaran.

“Walaupun individu tersebut telah terbukti salah namun diangkat jua sebagai hero. Bahkan mereka sanggup mendedahkan diri dijangkiti penyakit COVID-19 dengan berhimpun beramai-ramai dan melanggar SOP kerana ketaksuban pada individu.

“Benda yang salah tidak menjadi benar walaupun dilakukan oleh ramai orang.

“Nasihat saya, buanglah sikap taksub pada individu kerana kesungguhan kita dalam memartabatkan agenda Melayu dan Islam itu adalah lebih mulia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas mengenai tindakan para penyokong Datuk Seri Najib Razak yang mengingkari prosedur operasi standard (SOP) akibat gagal mengamalkan penjarakan sosial ketika berkumpul di hadapan Kompleks Mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Terdahulu, ribuan penyokong Najib hadir bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu, berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang secara haram berjumlah RM42 juta dari sebuah unit di bawah 1MDB, iaitu SRC International Sdn Bhd.

Kelakuan penyokong bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun mendatangkan rasa kecewa kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah susulan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Kesal dengan situasi berkenaan, Ustaz Ibrahim berkata, kita mungkin bergembira dengan keputusan mahkamah yang mendapati Najib bersalah atas salah guna kuasa wang SRC International.

“Ini kerana biarpun yang didakwa ialah pemimpin parti kerajaan namun sistem kehakiman dilihat tidak berat sebelah dalam menjaga kedaulatan undang-undang.

“Yang kita tidak gembira adalah penyokong Najib yang tidak faham SOP setelah kita berpenat lelah menjalani pelbagai fasa PKP,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button