Berita Utama

MCA dakwa DAP bergantung pada provokasi emosi untuk survival politik

DAP eksploitasi emosi masyarakat Cina yang takut dengan asimilasi: Lian Ker

KUALA LUMPUR, 1 Ramadan 1442H, Selasa – Pergaduhan antara pemimpin DAP ketika ini mendedahkan kepura-puraan dan warna sebenar parti itu, dakwa Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Beliau mendakwa, pergaduhan yang berlaku disebabkan rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi, mengenai kemungkinan DAP bekerjasama dengan UMNO dalam pilihan raya akan datang untuk menarik sokongan orang Melayu.

Dakwanya, DAP sedar bahawa undi orang Melayu akan menentukan kerajaan seterusnya dan bersedia mengorbankan sebahagian daripada undi pengundi Cina mereka yang setia.

“DAP bersedia membentuk kerajaan dengan UMNO setelah gagal bekerjasama dengan pihak lain.

“Ini telah menunjukkan warna dan kepura-puraan yang sebenar dalam DAP. Ini juga menyebabkan banyak pemimpin dan penyokong akar umbi yang menegakkan ‘Chineseness of DAP’ menjadi bimbang,” katanya.

Pada masa sama, Lian Ker berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek – DAP, Ronnie Liu, dalam ucapannya baru-baru ini meluahkan kebimbangan mengenai pemimpin dan penyokong akar umbi DAP.

“Liu, yang juga rakan sekolah saya dari Raub, hanya menyatakan kebimbangan penyokong DAP tegar kerana parti itu ‘menyamar’ dengan kepura-puraan politik yang pelbagai walaupun menjadi juara bagi orang Cina,” katanya. 

Lian Ker juga mendakwa, DAP adalah parti yang bergantung pada provokasi emosi dan eksploitasi pengundi Cina untuk survival politik.

Beliau seperti dilapor The Star juga mendakwa, DAP telah mengeksploitasi dan memprovokasi emosi masyarakat Cina, yang takut dengan asimilasi – sama seperti yang berlaku di Indonesia, Thailand dan Filipina.

“Oleh itu, apabila MCA sanggup berkorban dan menerima kompromi antara kaum – seperti memakai songkok dan penerimaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan – DAP telah memanfaatkan perkara itu dengan menghasut kemarahan pengundi Cina terhadap MCA dan UMNO, umumnya Barisan Nasional,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button