Bantah Jawi: DAP cuba heret rakyat ‘derhaka’ kepada Raja?
Tidakkah mereka sedar usaha martabat Jawi di Pahang dari Istana
KEBENCIAN parti yang dibenci ramai iaitu DAP, kepada tulisan Jawi terus menjalar kepada akar umbi negeri nampaknya.
Hasutan demi hasutan yang berlaku secara sistematik berjaya menghasut akar umbi negeri untuk membantah dan memburuk-burukkan tulisan Jawi.
Kini, mereka sampai tahap membawa isu ini ke mahkamah. Begitulah pekatnya kebencian mereka.
Seperti kita tahu, DAP terkenal dengan imej dan sikap ‘anti-establishment’ serta akan sentiasa membantah jika kehendak mereka tidak dipenuhi.
Mereka seringkali melaung sebagai juara toleransi tetapi sebenarnya toleransi tersebut hanya pilih bulu sahaja, apatah lagi kepada orang Melayu.
Saya tidak faham mengapa ada orang Melayu masih tertarik menjadi benteng apatah lagi menyertai DAP.
Mereka menggunakan mahkamah untuk mempersoal dan menekan kerajaan Pahang.
Jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada kerajaan Pahang, maka sudah pasti parti-parti politik seperti MCA, GRAKAN dan NGO-NGO seperti Dong Zong akan semakin berani mencabar di mahkamah untuk apa-apa isu berkenaan Jawi.
Kita tahu mereka bergerak secara strategik dalam apa-apa isu yang kononnya mengancam mereka.
Pastinya tulisan Jawi akan terus tercabar, terancam dan malah pada satu tahap, akan ada gerakan radikal bagi ‘mendiamkan’ terus usaha memartabatkan tulisan Jawi kelak jika dibiarkan.
Yang peliknya ialah, apakah mereka tidak sedar bahawa yang menghidupkan usaha memartabatkan tulisan Jawi di Pahang ialah dari pihak Istana, melalui Al-Sultan Abdullah yang merupakan Yang Di-Pertuan Agong sekarang?
Apakah mereka rasa mereka boleh berselindung di sebalik naratif kononnya berlawan dengan kerajaan negeri tetapi hakikatnya sebenarnya cuba mengheret rakyat ‘menderhaka’ kepada Raja?
Saya selaku anak jati Temerloh, Pahang, berharap agar kerajaan negeri dapat tegas mempertahankan tulisan ini habis-habisan.
Kita akan gerakkan anak-anak jati Pahang untuk menyokong kerajaan negeri mempertahankannya, lebih-lebih lagi melibatkan pihak Istana.
Saya mohon agar rakyat berbilang kaum khususnya bangsaku orang Melayu, untuk benar-benar menolak DAP kerana sudah terang lagi bersuluh akan hakikat sebenar mereka ini yang tidak senang dengan identiti dan budaya kita. Usahlah terus tertipu dan menipu diri.
#MartabatTulisanJawi
#MengangkatSuaraUmat
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Rujukan:
https://www.malaysiakini.com/news/536796
https://www.sinarharian.com.my/article/58386/EDISI/Pahang/Pahang-tetap-kuat-kuasa-tulisan-jawi-di-semua-premis-tahun-depan