Myanmar lanjut sekatan masuk warga asing hingga 31 Ogos
Kebenaran pengecualian visa jika ada urusan rasmi, kecemasan
YANGON, 10 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Sekatan masuk sementara bagi pelancong asing di Myanmar dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini bagi mengekang penularan COVID-19.
Kementerian Luar Myanmar mengumumkan bahawa lanjutan berkenaan turut terpakai bagi sekatan lain termasuk penggantungan semua jenis visa dan perkhidmatan pengecualian visa.
Pada masa sama, warga asing yang perlu memasuki negara itu atas urusan rasmi mahupun faktor kecemasan perlu mendapatkan kebenaran bagi pengecualian visa.
Kementerian baru-baru ini mengumumkan akan menyediakan penerbangan khas bagi rakyatnya yang mempunyai urusan penting termasuk rawatan kecemasan perubatan, pembedahan di luar negara, ahli akademik serta pelajar yang mengikuti pengajian di luar negara.
Kerajaan Myanmar turut membawa pulang rakyatnya yang terkandas di luar negara susulan penggantungan penerbangan komersial antarabangsa akibat pandemik COVID-19.
Dilaporkan, kira-kira 9,252 rakyat Myanmar dibawa pulang semalam dengan penerbangan khas. – Agensi