Berita Utama

Patuhi garis panduan Aidiladha

Mesti berwaspada untuk kekang penularan wabak COVID-19

SHAH ALAM, 10 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyeru umat Islam di negeri ini supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ketika meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Baginda berdua bertitah, rakyat juga seharusnya meraikan perayaan itu secara sederhana serta masih perlu berwaspada bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Umat Islam turut diseru menjalankan ibadah korban kali ini dengan tertib dan berhemah sebagaimana yang digariskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Semoga dengan tertunainya ibadah korban dan hikmah memperingati Aidiladha, umat Islam terutamanya, dapat menjadi contoh terbaik kepada setiap umat manusia,” titah baginda berdua dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Selangor Royal Office.

Baginda berdua juga sentiasa mendoakan seluruh rakyat dijauhi daripada malapetaka dan bencana, selain berdoa semoga wabak COVID-19 dapat dihapuskan.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negeri ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button