Berita UtamaDunia

Pertubuhan Uyghur gesa IOC tangguh Olimpik 2022 di Beijing

China didakwa jadi dalang pembunuhan etnik Islam di Xinjiang

MUNICH, 10 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Persatuan Uyghur yang berpusat di luar negara mendesak Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) mempertimbangkan penangguhan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing, selepas China didakwa melakukan ‘genosid’ terhadap etnik Islam.

Menerusi surat terbuka kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach, Kongres Uyghur Dunia (WUC) yang berpangkalan di Munich, menuduh China mendalangi pembunuhan etnik, jenayah kemanusiaan dan penyeksaan terhadap Uyghur serta warga Islam di Xinjiang.

Presiden WUC, Dolkun Isa berkata, pihaknya amat berduka cita dengan jawatankuasa berkenaan kerana tidak prihatin terhadap isu hak asasi manusia di China sejak memberikan Beijing hak untuk menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk 2022.

“Adalah sangat membimbangkan bahawa IOC, selaku badan antarabangsa dengan etika yang utuh, gagal memperakui perbuatan China bercanggah dengan isu hak asasi manusia.

“Ini kerana China mendalangi perbuatan jenayah antarabangsa di wilayah Uyghur ketika ini, selain di China secara amnya,” katanya.

Isa berkata, WUC sehingga kini tidak menerima sebarang maklum balas rasmi atau maklumat daripada Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan (CAS) selepas mengemukakan rayuan ke tribunal yang berpangkalan di Switzerland itu pada Februari lalu.

Sementara itu, jurucakap IOC berkata, pertubuhan itu kekal tidak memihak kepada sesiapa berkaitan isu politik global.

“Berhubung Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, Suruhanjaya Penilaian IOC mengambil maklum pandangan diutarakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai beberapa isu, termasuk hak asasi manusia.

“Kita akan terus membincangkan isu berkaitan sukan, sekiranya perlu, dengan pihak penganjur sebagai proses persediaan sukan berkenaan,” katanya.

Beijing yang menjadi tuan rumah Olimpik 2008, kini giat melakukan pelbagai persiapan untuk menjadi bandar pertama menganjurkan Olimpik Musim Sejuk dan Musim Panas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button