Berita Utama

Tiada penambahan kes, kluster Sivagangga terkawal

Tidak perlu PKPD, terima kasih penduduk beri kerjasama buat saringan

ALOR SETAR, 10 Zulhijjah 1441H, Jumaat– Tiada penambahan kes setakat ini menjadikan kluster Sivagangga dalam keadaan terkawal.

Keadaan itu juga masih belum memerlukan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, masih belum terdapat penambahan kes dalam kalangan penduduk atau kontak rapat yang pernah makan di restoran berkenaan berdasarkan saringan yang dijalankan setakat ini.

Bagaimanapun, beliau berharap supaya penduduk mahupun kontak rapat yang lain dapat menjalani saringan COVID-19 di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

“Semalam, ketika Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri COVID-19 Kedah di Wisma Darul Aman, kerajaan negeri difahamkan tiada penambahan kes positif kluster Sivagangga setakat ini, bagaimanapun kita tetap berhati-hati.

“Kita tidak ke arah sehingga perlu ada PKPD, terima kasih kepada penduduk yang memberi kerjasama dan ramai datang ke klinik kesihatan untuk melakukan saringan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, terdapat kluster baharu dikenal pasti di Kedah iaitu kluster Sivagangga yang membabitkan seorang pemilik kedai makan, seorang ahli keluarganya dan empat pekerja kedai.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, penduduk perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, sebarang ketetapan akan ditentukan mengikut situasi semasa mengikut KKM dan MKN sekiranya berlaku peningkatan kes selepas ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close