Tutup sektor ekonomi, Aidiladha di Lubnan suram
Hanya kedai gula-gula, restoran makanan segera dibuka ikut syarat
BEIRUT, 10 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Berbeza dengan perayaan di negara majoriti Islam lain, sambutan Aidiladha di Lubnan suram apabila sektor ekonomi di negara itu ditutup akibat wabak COVID-19.
Semangat bagi menyambut Hari Raya Korban musnah disebabkan angka rasmi menunjukkan jumlah kes pandemik di negara itu meningkat sehingga 4,250 dengan 55 kematian.
Jalan-jalan di bandar Beirut lengang manakala premis perniagaan ditutup, susulan rondaan keselamatan yang dilakukan akan berterusan sehingga Isnin depan.
Tekanan daripada wabak COVID-19, ditambah pula dengan krisis kewangan negara telah mengakibatkan ramai rakyat Lubnan kekurangan wang serta tidak dapat menunaikan ibadah haji.
Sementara itu, pemilik kedai daging di Beirut, Mohammed Oleylat berkata, premisnya menyembelih 40 hingga 50 ekor kambing biri-biri apabila tiba musim perayaan sebelum ini.
Bagaimanapun, perniagaannya kini merosot akibat penutupan sektor ekonomi.
“Kini, saya hanya mempunyai dua pelanggan yang meminta untuk membeli kambing biri-biri. Setiap kambing biri-biri berharga AS$300, bersamaan dengan 2.4 juta pound Lubnan di pasaran gelap.
“Pada malam hari raya, tiada pelanggan yang membeli daging atau leher kambing biri-biri.
“Saya juga tidak mampu membeli pakaian atau gula-gula untuk anak-anak. Saya hanya beri 100,000 pound Lubnan kepada isteri untuk membuat persiapan lebaran, “ katanya.
Pada masa sama, Kementerian Pelancongan Lubnan telah membenarkan kedai gula-gula dibuka pada hari raya Aidiladha bagi perkhidmatan makanan dan penghantaran sahaja.
Selain itu, restoran makanan segera turut diberi lampu hijau untuk berdagang dibawah sekatan sama. – Agensi