Berita Utama

Belajar dari PKP 1.0, rakyat lebih tenang hadapi sekatan pergerakan penuh

Pengumuman kerajaan melegakan memandangkan kes harian COVID-19 meningkat

KUALA LUMPUR, 17 Syawal 1442H, Sabtu – Belajar daripada pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu, rata-rata rakyat Malaysia lebih tenang dengan pengumuman pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.

Pengumuman berkenaan bukan sahaja melegakan mereka, memandangkan kes harian COVID-19 negara yang melepasi 9,000 kes hari ini, malah mereka juga tidak panik bagi menghadapi sekatan pergerakan penuh itu, termasuk dari segi persiapan barangan keperluan harian.

Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya di ibu kota mendapati, walaupun pusat beli-belah itu masih menjadi tumpuan orang ramai, namun stok mencukupi termasuk barangan ‘laku keras’ dan menjadi ‘buruan’ pada PKP 1.0 seperti roti dan tisu tandas.

Eksekutif jualan Muhd Haris Rosli, 21, berkata, pengalaman sebelum ini membuatkan beliau dan keluarga lebih tenang dan tidak bimbang untuk mendapatkan barangan keperluan.

Di sebuah pasar raya di Nilai, Negeri Sembilan pula mendapati, pelanggan beratur panjang untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, susu dan gula, serta barangan lain seperti sabun, namun tiada pembelian panik sehingga mengakibatkan kehabisan stok barangan.

Suri rumah Nurul Huda Selamat, 35, dari Batu Pahat, Johor berkata, beliau adalah bekas pesakit COVID-19, dan semenjak itu dia lebih kerap menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk membeli barangan keperluan harian.

“Rakyat tidak perlu membuat pembelian panik, dan buatlah perancangan dengan hanya keluar membeli barangan keperluan seminggu sekali,” katanya ketika dihubungi.

Di Selangor, pelanggan sebuah pasar raya di Shah Alam, mula beratur untuk membeli keperluan harian sejak 6 pagi dan kehadiran lebih ramai menjelang tengah hari.

Pengurus Lantai Eksekutif syarikat itu Mohd Safrizal Zainaldin berkata, walaupun pelanggan begitu ramai, namun bezanya daripada PKP 1.0 dahulu, pelanggan kini lebih bijak dengan menggunakan aplikasi whatsapp untuk memesan barangan bagi mengelak kesesakan.

Di Kedah, tinjauan di beberapa pasar raya sekitar bandar raya di negeri itu mendapati, orang ramai keluar membeli barangan keperluan seperti biasa.

Di Pulau Pinang, pemerhatian di Kuantan Road Market dan beberapa pusat beli belah utama pagi ini menunjukkan yang mereka dipenuhi dengan pembeli dan jumlah kenderaan yang banyak.

Peniaga di Kuantan Road Market Lim Khoon Huat, 73, berkata, perniagaan masih lagi seperti biasa dan pembeli membeli barangan mengikut keperluan mereka.

Sementara itu beberapa pemimpin menyokong pelaksanaan sekatan pergerakan penuh itu, manakala rata-rata rakyat berharap langkah itu dapat membendung penularan wabak berkenaan daripada bertambah serius.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menerusi ciapan Twitternya, menyokong pelaksanakan sekatan pergerakan penuh itu selain berkata, satu pakej rangsangan bakal diumumkan kerajaan negeri.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataan hari ini pula berkata, kerajaan negeri menyokong keputusan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh itu, kerana tiada pilihan berikutan peningkatan kes baharu COVID-19 yang begitu membimbangkan.

Seorang pengguna yang ditemui di sebuah pasar raya di Simpang Empat, Kedah Mazlan Abu Bakar, 57, berkata, beliau menyokong pelaksanaan itu dan berdasarkan pengalaman PKP sebelum ini, tiada keperluan untuk membuat pembelian panik.

Pekerja kilang di Negeri Sembilan, Niesya Din, 26, pula berkata, pengumuman kerajaan mengenai sekatan pergerakan penuh itu, memberi sedikit kelegaan kepada pekerja sektor perkilangan yang berdepan risiko terdedah COVID-19 di tempat kerja.

Usahawan di Pahang Azri Che Mukhtar, 32, pula menyifatkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh itu, dapat memberi sinar kepada mereka yang bekerja dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana, selepas lama berada dalam situasi ketidaktentuan, bilakah situasi pandemik akan berakhir.

Azri yang mempunyai tujuh pekerja juga berpandangan, bantuan sewajarnya perlu diberikan terutamanya subsidi gaji selain moratorium, supaya mereka boleh meneruskan perniagaan selepas tamat tempoh sekatan pergerakan penuh. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button