Berita Utama

2 individu ditahan tipu tawaran pakej vaksin COVID-19

Dijual harga RM450 untuk warganegara, RM800 warga asing

BANGI, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Dua individu masing-masing seorang lelaki dan wanita ditahan kerana dipercayai terbabit dengan penjualan pakej-pakej vaksin COVID-19.

Penahanan dua suspek warga tempatan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan yang mendakwa mengenai kewujudan tawaran pakej vaksin COVID-19 yang dijual pada harga RM450 untuk warganegara Malaysia dan RM800 bagi warga asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kedua-dua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek membuat penawaran pakej vaksin tersebut melalui laman sosial Facebook dan panggilan telefon.

“Pelanggan yang berminat akan didaftarkan ke dalam Program Vaksinasi COVID-19 Selangor (SCVP) melalui aplikasi Selangkah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pembeli yang berminat untuk mendaftar melalui mereka akan diletakkan dalam senarai menunggu dan pembayaran hanya perlu dibuat oleh pembeli setelah nama tersenarai sebagai penerima vaksin melalui aplikasi Selangkah.

Katanya, suspek mendakwa kira-kira 30 orang telah dihubungi berkenaan pakej vaksinasi itu dan 10 peratus menyatakan minat untuk membeli pakej yang ditawarkan.

“Semakan lanjut mendapati, sehingga kin pendaftaran program SCVP hanya dihadkan kepada syarikat sahaja dan masih belum dibuka kepada individu persendirian.

“Dalam usaha membendung kegiatan penipuan berkenaan vaksin COVID-19, pihak polis menggesa orang ramai untuk sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyalur sebarang maklumat berkenaan penipuan penjualan vaksin COVID-19 kepada polis supaya tindakan dapat dilaksanakan.

“Kealpaan kita dalam program dan inisiatif yang sedang dilaksanakan ini boleh dimanipulasi oleh sindiket penipuan yang menangguk di air keruh dan menjana keuntungan mudah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button