Berita Utama

Meski UMNO keluar PN, kerajaan belum tumbang seperti ‘dahulu’

Teruskan agenda rakyat, tindak tanduk politikus akan diperhati

BANGI, 11 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Meskipun UMNO tidak menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN), kerajaan boleh terus merancang agenda dasar yang ingin dilakukan, termasuk pembentangan Belanjawan dan pemulihan ekonomi negara dalam usaha menangani pandemik COVID-19.

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, walaupun UMNO keluar, kerajaan PN terus dipertahankan dan semua Ahli Parlimen dan ADUN UMNO terus berperanan dalam kerajaan seperti biasa.

“Meskipun UMNO tidak lagi bersama PN, UMNO membenarkan semua Ahli Parlimen dan ADUN UMNO terus kekal bersama dalam kerajaan PN pada peringkat Persekutuan dan negeri.

“Apakah maksudnya ini? Sebenarnya secara teknikal atau tidak, secara langsung sebenarnya UMNO masih bersama PN. Kerajaan PN tidak jatuh seperti mana BERSATU keluar daripada kerajaan PH bersama-sama sebahagian Ahli Parlimen dan ADUN BERSATU yang menyebabkan kerajaan PH jatuh,” katanya menulis di Berita Harian.

Mengulas lanjut beliau yang juga Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia berkata, buat masa ini, PN sebagai kerajaan peringkat Persekutuan mempunyai kelebihan merencanakan agenda rakyat untuk memenangkan gabungan berkenaan nanti.

“Namun, dinamik politik Malaysia selalu cepat berubah, sukar ingin dinyatakan sama ada PN akan wujud pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Buat masa ini, PN terus bertahan sebagai kerajaan walaupun UMNO sudah keluar dari gabungan itu,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak masih memerlukan masa lagi untuk memantapkan kedudukan mereka secepat mungkin bagi menghadapi cabaran PRU-15 yang mendatang.

“Rakyat akan memerhatikan tindak tanduk politikus Malaysia ini. Siapa yang dapat meyakinkan rakyat Malaysia mengenai agenda dan matlamat politik yang ingin dibawa, pihak itulah yang akan memenangi PRU-15 nanti,” katanya.

Terdahulu, UMNO membuat keputusan tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan kepada kerajaan PN ketika ini, hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri.

Katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen BN sebelum ini menyatakan hasrat membawa partinya menyertai MN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close