Berita Utama

60 petugas DBKL, PPj sertai misi bantuan banjir

Mereka sudah berada di Johor, Melaka sejak semalam

KUALA LUMPUR, 1 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Seramai 60 petugas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) telah dihantar ke Segamat, Johor serta Melaka bagi misi bantuan banjir.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kesemua petugas telah berada di dua negeri berkenaan sejak semalam selain Pusat Kawalan Operasi Banjir bagi menyelaras dan mengatur gerak kerja bersama pasukan pengurusan bencana daerah dan negeri, turut dibuka.

“Bagi misi di Segamat, DBKL menggerakkan sebuah bot besar, dua buah kenderaan pacuan empat roda (4×4), dua van dan lima lori.

“Untuk misi di Melaka, PPj menggerakkan enam buah pacuan 4×4, sebuah lori, beberapa buah bot kecil selain peralatan pembersihan seperti 15 unit ‘water jet’, tiga ‘water pump’ dan tiga hos biru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata selain daripada operasi membantu, menyelamat dan membersih di kawasan terjejas bencana, bantuan bakul makanan turut akan diedarkan kepada keluarga yang terlibat.

Shahidan berkata jumlah sukarelawan daripada pelbagai agensi di bawah kementeriannya juga akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan keadaan semasa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button