Resolusi Dong Zong melampau, undang ketidakharmonian kaum
Nampak biadab di saat negara masih lagi berdepan COVID-19
BANGI, 11 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Resolusi yang disuarakan pertubuhan radikal Cina Dong Zong akan mengundang ketidakharmonian perpaduan kaum di Malaysia serta menyebabkan ada pihak berasa terancam.
Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily melaporkan, Mesyuarat Agung Dong Zong meluluskan tujuh resolusi yang mana antaranya menuntut pengenalan tulisan Jawi di sekolah dilaksanakan seiring dengan pengenalan seni kaligrafi kaum lain.
Manakala, enam lagi resolusi lain yang diluluskan adalah mengenai semakan semula Akta Pendidikan 1996, menubuhkan jawatankuasa pemantau pendidikan serta penyaluran peruntukan secara adil kepada semua jenis aliran pendidikan.
Pertubuhan pendesak itu turut menuntut kerajaan menyegerakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), mengembalikan status perundangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan pengecualian cukai tambahan ke atas pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dan institusi pendidikan persendirian.
Menempelak resolusi Dong Zong, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, tuntutan itu bersifat melampau dan biadab di saat negara masih lagi berdepan isu pandemik COVID-19.
Lebih mendukacitakan katanya, tuntutan itu dibuat ketika keadaan politik negara yang tidak stabil yang menuntut kepada pemulihan ekonomi.
Bidasnya, pihak kerajaan telah memberikan banyak bantuan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina, justeru tidak wajar mereka menuntut lebih dari itu.
“Satu hal yang menunjukkan sikap melampau mereka ia menuntut ditubuhkan jawatankuasa pemantau bagi memantau salah guna kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) sedangkan kita sudah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan berautoriti juga institut intergriti negara.
“Dong Zong sepatutnya membantu KPM menyuburkan elemen perpaduan kaum dari menuntut sesuatu yang boleh menggugat kestabilan kaum,” bidasnya lagi.
Isu pengiktirafan UEC sejak kebelakangan ini semakin ‘panas’. Terdahulu, Pengerusi Terhormat Hua Zong, Tan Sri Lim Huah Leong meminta semua pemimpin pertubuhan Cina ‘berdiam diri’ dalam beberapa isu termasuklah tidak berbincang secara terbuka mengenai UEC.
Huah Leong dilaporkan berkata, situasi politik semasa tidak stabil dan jika pemimpin pertubuhan Cina berterusan meminta pengiktirafan UEC, mereka akan terjerumus ke dalam perangkap.
Bagaimanapun Dong Zong dilaporkan seolah-olah tidak bersetuju gesaan Hua Zong, sebaliknya bertegas untuk tetap konsisten dengan pendirian mereka berhubung isu pengiktirafan UEC.
Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim menegaskan semua pertubuhan Cina konsisten dalam pendirian mereka untuk mendapatkan pengiktirafan UEC, namun melalui pendekatan yang lebih lembut.
Orientaldaily melaporkan, Tai Kim turut berharap supaya kerajaan menambah peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan merancang berhubung terus dengan Kementerian Pendidikan (KPM) mengeni perkara itu.
Katanya, Dong Zong akan menyerahkan memorandum supaya peruntukan untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan SJKC dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2021, dengan mengekalkan RM50 juta atau menambah jumlah itu.