Berita Utama

COVID-19: Kes baharu kembali dua angka

14 kes positif hari ini, jumlah kematian kekal 125

KUALA LUMPUR, 12 Zulhijjah 1441H, Ahad – Sebanyak 14 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini berbanding sembilan kes semalam dengan 13 daripada kes baharu itu membabitkan penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kini 8,999 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 210 kes.

Bagaimanapun, jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 kekal 125 orang.

Semua 13 kes penularan dalam negara merupakan warganegara Malaysia iaitu 11 kes daripada Kluster PUI Sivagangga dan dua kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Laut Labuan.

“Kes pertama (di Sabah) merupakan pelajar yang tiba dari Sandakan yang akan memulakan pengajian di Labuan manakala kes kedua pula dari Penampang yang datang ke Labuan untuk bercuti bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi satu kes import yang dilaporkan, ia melibatkan warganegara Filipina yang mendapat jangkitan di luar negara.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 17 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih sepenuhnya sebanyak 8,664 kes atau 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tambahnya, terdapat hanya dua kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, katanya, setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 313 orang disaring bagi kluster PUI Sivagangga.

“Daripada jumlah saringan ini, 20 kes aktif dikesan positif, 280 lagi negatif manakala 13 kes masih menunggu keputusan ujian. Daripada kes positif yang dilaporkan, 15 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan lima kes adalah bukan warganegara. Tiada kes dirawat di ICU dan tiada kematian dilaporkan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 11 kes positif dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dengan lapan kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8975, iaitu termasuk satu kes pelajar sekolah berumur tujuh tahun.

Dr Noor Hisham berkata, kes-8975 itu merupakan kes generasi pertama.

Selain itu, dilaporkan tiga kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8976, iaitu termasuk satu kes pelajar sekolah berumur 10 tahun. Kes-8976 merupakan kes generasi pertama.

“Semua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif giat dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mencegah penularan COVID-19 selain aktiviti pembersihan dan nyahkuman dilaksanakan di semua premis termasuk sekolah yang terlibat dan rumah kes yang dikesan positif,” jelasnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button