Berita Utama

Kedudukan tinggi undang-undang Islam perlu dikembalikan

Charters of Justice angkat undang-undang Inggeris, sisih peraturan Islam

BANGI, 12 Zulhijjah 1441H, Ahad – Sudah tiba masanya kedudukan tinggi undang-undang Islam dikembalikan, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau membangkitkan perkara itu apabila sebelum kedatangan penjajah, Tanah Melayu telah pun melaksanakan undang-undang Islam dalam kehidupan seharian.

Katanya, segala masalah yang timbul diadili sama ada di hadapan sultan atau pemerintah kawasan berdasarkan undang-undang Islam dalam semua urusan, termasuk hal ehwal kekeluargaan, muamalat dan jenayah.

Pelaksanaan undang-undang itu berlaku selepas sultan bertindak memeluk Islam dan diikuti oleh rakyat yang turut mentauhidkan Allah SWT.

“Catatan bertulis mengenai hukum dan peraturan Islam dalam beberapa tulisan seperti Undang-undang 99 Perak, Hukum Kanun Melaka dan lain-lain menjadi bukti bahawa wujudnya peruntukan undang-undang Islam yang dilaksanakan secara sistematik,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun, kesemuanya berubah sebaik sahaja Inggeris menduduki Tanah Melayu – apabila pihak Inggeris dan Raja-Raja Melayu telah memeterai beberapa perjanjian atau lebih dikenali sebagai triniti.

Dalam triniti berkenaan, terdapat syarat dikenakan supaya Residen Inggeris dibenarkan datang dan memberi bantuan kepakaran dalam mentadbir urusan negara kepada Sultan, Datuk Zainul Rijal.

Dalam triniti sama, beliau bagaimanapun berkata, Residen tidak akan mencampuri urusan pentadbiran agama dan pelaksanaan undang-undang Islam di Tanah Melayu.

Malangnya, ketika itu tafsiran Islam disempitkan, katanya.

“Ketika itu, urusan undang-undang mula dibahagikan kepada aspek-aspek yang terpisah. Undang-undang muamalat atau transaksi dianggap urusan keduniaan yang tidak berkait dengan Islam.

“Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam yang dipanggil Charters of Justice (Piagam Keadilan Pertama) pada tahun 1807, Piagam Keadilan Kedua pada 1826 dan Piagam Keadilan Ketiga pada 1885.

“Semua itu bertujuan untuk mengangkat taraf undang-undang Inggeris dan secara tidak langsung menenggelamkan serta menyisihkan undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai lex loci (undang undang tempatan),” katanya.

Mengulas lanjut, Zainul berkata, campur tangan secara langsung dalam urusan kekeluargaan orang Islam di Tanah Melayu telah berlaku pada 1880.

Beliau berkata, Inggeris turut memperkenalkan satu ordinan yang dipanggil ‘Muhammedan Marriage Ordinance’ bertujuan bagi menetapkan sejauh mana undang-undang Islam boleh diterima dan diiktiraf mahkamah.

“Dengan terlaksananya ordinan itu juga, cita-cita dan usaha British untuk memisahkan antara urusan sivil dan urusan keagamaan yang dirancang sejak kedatangannya ke Tanah Melayu mula terzahir dengan begitu jelas,” dakwanya.

Pada masa sama, Zainul berkata, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak, Selangor 1952 telah digubal bermula awal tahun 1950.

Beliau berkata, enakmen berkenaan mengandungi urusan penubuhan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Selangor, yang membantu sultan mentadbir perkara berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

Katanya, enakmen itu turut menyebut hak dan kuasa Majlis, peraturan mesyuarat, penubuhan Jabatan Agama Islam, pelantikan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa serta penubuhan Mahkamah Kadi.

Malah, katanya, aspek-aspek kekeluargaan juga diperuntukkan namun tidak terperinci.

“Perkara yang dinyatakan melibatkan urusan pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembubaran perkahwinan, harta sepencarian, penjagaan anak-anak, nafkah anak-anak dan isteri, anak sah taraf dan sebagainya. Kandungan Enakmen Pentadbiran 1952 sebenarnya lebih kepada menggabungkan berbagai-bagai undang-undang pentadbiran agama Islam.

“Dengan pewartaan Enakmen Pentadbiran 1952, maka ia menggantikan pemakaian kanun Muhammadan Enactment yang dikuatkuasakan. Penggubalan Undang-undang Pentadbiran telah dilaksanakan di negeri-negeri lain iaitu Kelantan, Terenganu, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan,

“Jika dikaji, peruntukan mengenai urusan perkahwinan dalam Enakmen Pentadbiran 1952 sebenarnya hampir sama dengan peruntukan yang ada dalam Muhammedan Marriage Ordinance. Penggunaan ayatnya hampir sama kecuali perubahan kepada perkataan Pendaftaran dan Kadi sahaja,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button