Berita Utama

Lebih satu parti Melayu Islam bawa kebaikan jika agenda sama

Main peranan semak dan imbang dalam aspek polisi, pelaksanaan

BANGI, 12 Zulhijjah 1441H, Ahad – Kewujudan parti Melayu lebih dari satu akan membawa lebih banyak kebaikan dari keburukan sekiranya matlamatnya sama, kata Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti BERJASA, Hazwan Mohamad.

Menyifatkan perkara itu bukan satu kesalahan, beliau berkata, parti Melayu Islam yang banyak akan membolehkan proses semak dan imbang berlaku dengan baik terutama berkenaan agenda yang satu.

Hazwan juga memberi contoh sekiranya, sesuatu parti Melayu Islam menjadi kerajaan, parti lain pula akan melakukan semak dan imbang dalam soal polisi dan pelaksanaan.

“Selain itu, banyak parti Melayu Islam akan membuka ruang persaingan sihat seterusnya menyuntik kualiti dalam kewibawaan kepimpinan.

“…pada masa sama memberi lebih pilihan pemimpin yang berkualiti kepada masyarakat,” katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

Bahkan Hazwan berkata, banyak parti Melayu Islam yang bersatu melambangkan sebuah ‘ketumbukan’ yang padu melawan agenda atau naratif yang songsang dari pihak lawan.

“Bayangkan, UMNO, PAS, BERSATU, BERJASA, dan IKATAN melawan MCA, DAP serta GERAKAN. Tapi dengan syarat mesti berkongsi satu matlamat yang samalah.

“Contoh dalam isu sekolah vernakular, kenapa UMNO, PAS, BERSATU tidak boleh berprinsip untuk kita cuba bantu betulkan naratif pendidikan supaya lebih bersifat nasional yang satu?,” soalnya.

Sebelum ini, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyarankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan satu pasukan khas bagi membincangkan kewajaran sekolah satu aliran.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya menyarankan, semua pihak yang berkepentingan seperti aktivis pendidikan, ahli akademik, pakar sosio budaya, NGO dan tokoh dapat dibabitkan untuk berbincang dengan profesional dan berfakta berhubung kewajaran sekolah satu aliran.

“Jika kerajaan tidak ambil peluang ini, sampai bila lagi kita mahu lihat rakyat berbalah dalam isu ini lebih-lebih lagi isu sekolah vernakular sering kali menjadi bahan mainan politik, terutamanya dalam mengemis undi kaum dan masyarakat tertentu.

“Inilah masanya untuk kita selesaikan masalah yang sudah berlarutan selama lebih 50 tahun dan ‘move on’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button