Berita Utama

Lompat parti bukti kebobrokan politikus

Perjuangan untuk agama, bangsa hanya retorik kempen

BANGI, 12 Zulhijjah 1441H, Ahad – Situasi politik semasa memperlihatkan ramai di kalangan ahli politik berjuang untuk perut serta poket sendiri sahaja.

Pemerhati politik, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menerusi catatan di Facebook mendakwa, perjuangan untuk agama, bangsa dan negara hanyalah retorik pemanis bibir ketika kempen pilihan raya ataupun ucapan pembakar semangat di mesyuarat agung tahunan parti masing-masing.

Mengimbau krisis politik Perak pada tahun 2009 serta tindakan ADUN UMNO menyertai Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) beliau berkata, melompat parti adalah di antara bukti kebobrokan pemain pentas politik negeri dan negara.

“Bukan sedikit jumlah imbuhan kewangan buat mereka yang keluar atau melompat parti. Krisis politik DUN Perak pada tahun 2009 yang mengakibatkan pertukaran kerajaan Pakatan Rakyat kepada BN.

“Seorang Exco negeri Perak yang keluar parti PKR dikhabarkan menerima sejumlah RM6 juta sebagai imbuhan.

“Manakala PRU14 pada 2018, lompatan beberapa ADUN UMNO ke Warisan menyebabkan jatuhnya kerajaan negeri BN kepada Warisan dengan imbuhan yang diterima sehingga RM 20 juta. Siapa lagi boleh diletakkan harapan?,” soalnya.

Ketika ini krisis politik membabitkan Kerajaan Negeri Sabah makin hangat diperkatakan apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Khamis lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mohd Shafie membuat pengumuman berkenaan pada sidang akhbar khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

DUN Sabah mempunyai 65 kerusi dengan blok kerajaan menguasai 45 kerusi manakala blok pembangkang 20 kerusi.

Blok kerajaan terdiri daripada Warisan (31 kerusi), DAP (6), UPKO (2), PKR (2) dan ADUN dilantik (4), sementara blok pembangkang pula merangkumi Bersatu (9), PBS (4), STAR (3), Bebas (2), UMNO (1) dan ADUN dilantik (1).

Mohd Shafie dilantik sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei 2018 dan pembubaran DUN itu dibuat setelah kerajaan negeri pimpinannya memerintah selama kira-kira 26 bulan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close