Berita UtamaIstimewa

Bantah Jawi di Pahang: ADUN Tras DAP seperti derhaka kepada Raja

Mufti Pahang bimbang tindakan Chow Yu Hui pecah belahkan rakyat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Zulhijjah 1441H, Isnin – Tindakan ADUN Tras DAP, Chow Yu Hui memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar ketetapan Kerajaan Pahang bagi mewajibkan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu seperti menderhaka kepada Raja.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menegaskan, tindakan itu sekali gus tidak menghormati salah satu Rukun Negara yang menjadi asas pembangunan, kemakmuran, dan perpaduan rakyat di Malaysia iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Bimbang perbuatan itu memecah belahkan masyarakat, beliau menggesa polis mengambil tindakan kepada pihak berkenaan kerana mencabar dan merasa lebih berkuasa daripada kesepakatan yang dibuat oleh negara dan semua bangsa di negara ini.

“Kita rasa tindakan ini amat berbahaya kepada negara. Kalau dulu saya kata DAP parti yang merosakkan orang Islam tapi sekarang ini menderhaka kepada Raja dan kerajaan yang dibentuk.

“Kita tidak boleh membiarkan tindakan yang cuba dibuat oleh DAP. Ini kerana tulisan Jawi adalah sebahagian daripada bahasa Melayu. Dalam Perlembagaan menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Ertinya DAP seolah-olah menafikan semua perkara. Kemudian mencabar orang Melayu dan Islam,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Datuk Abdul Rahman yakin tindakan wakil rakyat DAP ini mungkin suara suruhan parti itu yang tidak menghormati pembentukan keharmonian sebuah negara.

Sebelum ini, Yu Hui memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Permohonan itu dibuat 30 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuantan bagi menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara itu, sebelum ini.

Kerajaan negeri memutuskan semua premis perniagaan dan papan tanda jalan di negeri itu menggunakan tulisan Jawi berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.

Penggunaan tulisan Jawi adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan berkenaan diperkasakan di negeri itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button