Berita Utama

DAP takut Jawi macam boleh pupus keturunan Cina

Tindakan ADUN Tras hanya cetus rasa tidak senang orang Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Zulhijjah 1441H, Isnin – Tindak-tanduk pemimpin parti tamak haloba DAP yang membantah pemerkasaan tulisan Jawi, seolah-olah ia akan menganggu dan memupuskan keturunan Cina di negara ini.

Demikian tegas Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan, Ustaz Norman Mohd Nor, sebagai mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui kerana mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di negeri itu.

Sebelum ini, Yu Hui memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan negeri itu pada 30 Julai lalu, di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Permohonan ADUN DAP itu dibuat bagi menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Kesal dengan tindakan Yu Hui itu, Ustaz Norman berkata, sebagai rakyat Pahang, dia tidak wajar bersikap demikian, bahkan sepatutnya akur serta hormat kepada kehendak majoriti rakyat di negeri berkenaan.

“Saya bimbang tindakan tidak cermat beliau mengundang rasa tidak senang orang Melayu yang inginkan bahasa dan tulisan mereka dimartabatkan di negara ini.

“Beliau sebagai seorang ahli politik sepatutnya berusaha mencari titik persefahaman dan langkah bagaimana mengharmonikan kehidupan antara kaum berteraskan Perlembagaan atau Rukun Negara,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Norman berkata, beliau yakin ramai kaum Cina tidak bersetuju dengan tindakan Yu Hui, yang hanya mendatangkan persepsi buruk terhadap bangsa mereka.

“Saya meminta kepada individu terpelajar dan NGO Cina yang menjunjung sifat penyayang dan cintakan kedamaian, ketengahkan idea-idea yang bernas dan bermanfaat, nyatakan pendirian profesional anda demi kebaikan dalam masyarakat majmuk.

“Tunjukkan kepada umum bahawa kita masyarakat maju yang boleh berkompromi dalam hal-hal yang mendatangkan perpaduan dan kebaikan untuk semua,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan tulisan Jawi sangat bermakna kepada orang Melayu, jadi tidak perlulah menentang sebarang usaha memperkasakannya.

“Bagi bangsa-bangsa lain ia menjadi satu medan untuk menambah ilmu dan satu medium untuk lebih mengenali asal-usul bangsa Melayu di negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button