Berita Utama

Kartel daging haram: 3 pegawai MAQIS direman

SPRM sahkan 8 suspek telah ditahan sejak 4 Januari, 27 saksi sudah dipanggil

JOHOR BAHRU, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Tiga pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) direman lima hari kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah berhubung kemasukan daging beku tidak dibenarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Tempoh reman bermula hari ini hingga 23 Januari – dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nur Fathiah Mohd Fedzier, selepas mendengar permohonan SPRM Johor, pagi tadi.

Tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek menjadikan lima pegawai jabatan berkenaan disiasat setakat ini, selepas dua pegawai MAQIS Johor berusia 27 dan 31 tahun direman mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 pada 7 Januari lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 40, 44 dan 55 tahun, ditahan di Pejabat SPRM Johor, kira-kira jam 7 malam semalam selepas hadir untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, SPRM Johor pada semalam menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun di Johor Bahru sebelum suspek direman selama enam hari bermula semalam.

Sebelum ini, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan seramai lapan suspek telah ditahan sejak 4 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku.

Selain itu, 27 saksi juga dipanggil terdiri daripada pekerja syarikat, ejen pengimport serta pegawai kerajaan.

Kes terbabit disiasat mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button