Berita Utama

ISMA Gombak lancar kempen Komuniti Kita Bebas Arak

Kenal pasti premis jual arak secara aktif di kawasan majoriti Malayu

BANGI, 13 Zulhijjah 1441H, Isnin – Gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Gombak melancarkan kempen ‘Komuniti Kita Bebas Arak’ bagi menyuburkan keprihatinan terhadap penjualan arak secara berleluasa di daerah berkenaan.

Yang Dipertuanya, Haji Abdul Samad Ashaari berkata, kempen yang dilksanakan menerusi medium laman sosial itu adalah antara beberapa inisiatif yang dibuat bagi mengekang penjualan arak di sekitar daerah.

Susulan banyak kes kemalangan dan beberapa insiden lain berkaitan minuman keras berlaku kebelakangan ini, beliau mendesak supaya penjualan arak, khususnya berdekatan komuniti Gombak dihentikan, selain menuntut sokongan semua lapisan masyarakat.

“Sehubungan itu, ISMA Gombak ingin menggariskan beberapa tindakan yang perlu kita hidupkan di cawangan bersama-sama mengenalpasti premis-premis yang aktif menjual arak di kawasan majoriti penduduk Melayu muslim.

“Berkongsi secara aktif kempen Komuniti Kita Bebas Arak di setiap medium laman sosial seperti aplikasi Whatsapp, Telegram, Facebook, Twitter dan Instagram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga akan memastikan penglibatan maksimum ahli-ahli ISMA cawangan berkenaan mengikut lokaliti di dalam kempen itu.

Selain itu, Abdul Samad turut menggalakkan penulisan artikel berbentuk tazkirah, berita atau pengetahuan am di media sosial dan arus perdana, selain menyuburkan keprihatinan terhadap kebajikan ahli serta masyarakat sekeliling di cawangan masing-masing.

“Sebarang maklum balas boleh merujuk kepada Pegawai Eksekutif Gombak, Encik Hassriq Hafize di talian 019-5906365.

“Marilah kita sama-sama berusaha ke arah menjadikan kawasan persekitaran dan komuniti kita bebas arak. 

“Semoga Allah mengganjari setiap usaha tersebut dan mengeluarkan kita semua dari bencana bahaya arak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button