Berita Utama

Isu hina simbol kedaulatan negara berulang jika tiada tindakan ‘keras’

Sekalipun bebas berkarya tetap tertakluk kepada perundangan

BANGI, 13 Zulhijjah 1441H, Isnin – Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) mendesak kerajaan bertindak lebih tegas terhadap mana-mana individu yang mempersendakan lambang dan simbol kedaulatan negara.

Ketua Media MUAFAKAT, Haji Rashidi Haris berkata, hukuman keras harus dikenakan – penjara serta denda yang maksima tidak kira sama ada perbuatan itu sengaja atau tidak tidak.

Katanya, hukuman itu perlu bagi memastikan perbuatan memalukan maruah negara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“MUAFAKAT memandang serius perkara ini dan mengesyorkan tindakan segera bagi membendung gejala biadab ini daripada melampau-lampau hingga tidak terkawal dan melarat kepada rakyat jelata tanpa had dan batasannya.

“Sekalipun atas nama ‘kebebasan berkarya’ atau ‘kesenian’ namun ia tetap tertakluk kepada perundangan negara dalam soal tatasusila.

“Jangan melampau sampai kepada bebas menghina dan mempersenda sesiapa sahaja termasuk terhadap pemimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Merujuk kepada potret kontroversi menunjukkan sisi belakang badan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam satu pameran di Singapura pada tahun 2015, Haji Rashidi berkata, perbuatan itu amat biadab dan kurang ajar.

Tegasnya, dalam budaya tradisi orang Melayu perbuatan minta diri untuk beredar dengan cara membelakangkan diri terhadap seseorang khususnya Sultan atau Raja adalah perbuatan biadab tidak menghormati kedaulatan baginda.

“Apatah lagi jika dengan sengaja meletakkan potret bahagian belakang baginda Sultan. Perbuatan seumpama ini sudah melampau, sekalipun dengan alasan ‘kesenian’.

“Persoalannya kenapa mesti potret baginda Tuanku, kenapa tidak potret ibu bapa ataupun ahli keluarga pelukis itu sendiri? Adakah belakang ahli keluarganya lebih mulia daripada belakang Tuanku Sultan?

“Di sinilah letaknya perbezaan ketara antara mereka yang punya maruah dan kedaulatan diri berbanding mereka yang telah ‘bangsat’ budaya bangsanya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button