Berita Utama

Treler filem ‘Pulau’ dikongsi dalam talian di luar bidang kuasa LPF

Kandungan treler tular berbeza dengan kandungan dikemuka pada agensi

BANGI, 26 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Lembaga Penapis Filem (LPF) mendapati bahawa terdapat perbezaan antara kandungan treler filem ‘Pulau’ yang dikongsikan di dalam media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan.

Mengambil maklum akan isu berbangkit setelah promosi filem itu melalui perkongsian poster dan sedutan treler, LPF berkata, kandungan treler yang telah ditayangkan secara dalam talian – menerusi platform internet – adalah di luar bidang kuasa pihaknya.

Bahkan, LPF memaklumkan bahawa filem ‘Pulau’ adalah sebuah filem seram dan bukan filem aksi lucah seperti yang digembar-gemburkan.

“LPF sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat Malaysia dan melaksanakan penapisan filem sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan.

“LPF menghargai pandangan dan maklum balas berkenaan dengan penapisan filem di negara ini.

“LPF juga sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak terutamanya pandangan yang bersifat konstruktif berdasarkan kepada keseluruhan kandungan sesuatu filem,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, LPF di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan tugas berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) yang menetapkan fungsi penapisan filem dan bahan publisiti filem yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan, diedarkan atau dipancarkan secara fizikal kepada masyarakat umum di Malaysia kecuali melalui internet.

Menurut LPF, di dalam mengeluarkan suatu keputusan ke atas penapisan kandungan dan bahan publisiti, pihaknya akan meneliti berpandukan kepada Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2020 yang merangkumi aspek keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

Filem Pulau yang bakal ditayangkan 9 Mac depan menerima kecaman pelbagai pihak yang menggesa LPF mengkaji semula kelulusan karya terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button