Berita UtamaDunia

Militan IS serang penjara Afghanistan

1,282 terbunuh, 2,176 cedera dalam 6 bulan 2020

KABUL, 13 Zulhijjah 1441H, Isnin – Kumpulan militan IS mendakwa bertanggungjawab atas serangan kompleks oleh pengebom bunuh diri yang meletupkan kereta dan lelaki bersenjata terhadap penjara di timur Afghanistan yang menyebabkan tiga orang terbunuh dan 24 lain cedera.

Serangan pada Ahad berlaku sehari selepas agensi perisikan Afghanistan mengatakan seorang komander kanan IS dibunuh oleh pasukan khas Afghanistan berhampiran Jalalabad.

Kejadian tembak-menembak antara pasukan keselamatan Afghanistan serta pemberontak di Jalalabad, ibu kota wilayah Nangarhar, masih berlaku pada petang Ahad dan mangsa korban kemungkinan meningkat, kata jurucakap gabenor wilayah itu, Attaullah Khogyani.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tariq Arian mengesahkan tiga orang terbunuh sementara jurucakap Kementerian Kesihatan wilayah pula berkata, 24 cedera.

Taliban mengisytiharkan gencatan senjata selama tiga hari mulai Jumaat berikutan cuti Hari Raya Aidiladha umat Islam.

Taliban juga membantah terbabit dalam pengebom berani mati di wilayah Logar timur pada Khamis, yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan 40 yang lain, kata pihak berkuasa.

Afghanistan menyaksikan lonjakan keganasan baru-baru ini, dengan kebanyakan serangan didakwa dilakukan sekutu IS tempatan.

Usaha untuk memulakan rundingan damai antara Taliban dan Kerajaan Kabul terhenti setelah Taliban dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian pada bulan Februari, yang dilihat sebagai pelan tindakan – yang kononnya untuk mengakhiri perang puluhan tahun Afghanistan.

Kesepakatan itu dibuat untuk membolehkan AS mengakhiri pembabitan selama 19 tahun di Afghanistan, dan meminta Taliban menjamin wilayahnya tidak akan digunakan oleh kumpulan pengganas.

Selain itu, perjanjian berkenaan juga diharapkan dapat menjamin penyertaan Taliban dalam memerangi IS.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu berkata, Afghanistan menyaksikan penurunan sebanyak 13 peratus dalam kalangan orang awam yang terbunuh serta cedera dalam keganasan di seluruh negara untuk enam bulan pertama tahun ini, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.

Laporan itu memberi pengakuan penurunan jumlah korban akibat pengurangan operasi oleh pasukan tentera antarabangsa – yang kini hanya bertindak ketika diminta dan menyokong pasukan Afghanistan – serta penurunan jumlah serangan IS.

Laporan itu berkata, PBB mencatatkan 17 serangan oleh IS yang menyebabkan korban awam selama enam bulan pertama tahun 2020 – menurun dari 97 serangan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Secara keseluruhan, PBB berkata, 1,282 orang terbunuh dalam keganasan pada enam bulan pertama 2020 di Afghanistan dan 2,176 cedera. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button