Berita Utama

PAS tampilkan anak tempatan sebagai calon PRK Pelangai

Calon disenangi ramai, mampu beri sumbangan kepada masyarakat

BANGI, 4 Rabiulawal 1445H, Rabu – PAS akan meletakkan calon tempatan untuk bertanding sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober depan.

Nama calon berkenaan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) akan diumumkan dalam majlis pengisytiharan di Pelangai Bentong, Pahang, malam ini, kata Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Kita akan isytihar calon pada malam ini di Pelangai. Kita akan guna lambang PN dan calon itu daripada PAS.

“Kita sudah kenal pasti calon yang boleh menang dan dekat dengan rakyat di mana mampu untuk beri sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon tersebut, namun memberi bayangan individu berkenaan merupakan anak tempatan yang disenangi rakyat.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam minggu lalu, yang turut mengorbankan sembilan individu lain.

Allahyarham yang juga EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi berkenaan pada PRU15 tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.

PRK DUN Pelangai adalah PRK yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Kuala Terengganu, Pulai dan Simpang Jeram.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button