Tarikh persekolahan tahun hadapan bermula 20 Januari: Radzi Jidin
Takwim, cuti persekolahan ambil kira aspek terkesan akibat PKP

KUALA LUMPUR, 13 Zulhijjah 1441H, Isnin – Tarikh pembukaan penggal pertama persekolahan sesi 2021 di seluruh negara ditetapkan pada Rabu 20 Januari.
Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata, tarikh itu ditetapkan berdasarkan takwim tahun 2021 yang telah dimuktamadkan.
Beliau berkata, takwim penggal dan cuti persekolahan bagi tahun 2021 itu disediakan dengan mengambil kira pelbagai aspek yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berikutan penularan pandemik COVID-19.
“Jadi, penyelesaian untuk cabaran yang timbul sepanjang tempoh ini tentunya memerlukan pendekatan dan kaedah yang luar dari kebiasaan. Begitu juga dalam konteks pindaan takwim persekolahan dan takwim peperiksaan.
“Berdasarkan tarikh baharu ini, kita buka (sekolah) jauh lebih lewat daripada biasa. Takwim persekolahan tahun 2020 telah dipinda dengan memaksimumkan tempoh hari persekolahan dan mengurangkan cuti akhir tahun,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.