Berita Utama

Termometer infra merah tak pancar radiasi, selamat diguna

Tular di media sosial kononnya penggunaan termometer infra merah tanpa sentuh sebabkan kecederaan kepada otak: Dr Hisham

KUALA LUMPUR, 13 Zulhijjah 1441H, Isnin – Termometer infra merah tidak memancarkan radiasi dan ia selamat digunakan bagi menyukat suhu badan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu yang tular di laman sosial berkaitan keselamatan penggunaan termometer infra merah tanpa sentuh yang dikatakan boleh menyebabkan kecederaan kepada otak.

Menurutnya, alat itu direka bentuk untuk mengesan dan menyerap isyarat sinaran infra merah daripada permukaan kulit yang kemudiannya diubah menjadi isyarat elektrik.

“Litar elektronik di dalam termometer ini memproses isyarat elektrik tersebut untuk menentukan suhu tubuh manusia yang diukur dan memaparkannya di skrin paparan.

“Oleh kerana termometer infra merah tidak memancarkan radiasi, ianya selamat untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pengukuran suhu badan dengan termometer infra merah biasanya dilakukan sama ada di permukaan kulit dahi atau di membran timpanik.

“Walaupun bacaan suhu di membran timpanik lebih tepat tetapi kaedah pengukuran di permukaan kulit dahi lebih mudah untuk saringan populasi.

Kajian yang dilaksanakan oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan, KKM mendapati tiada bukti saintifik mengenai kesan sampingan penggunaan termometer infra merah untuk mengukur suhu di dahi,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM sedar tentang terdapatnya termometer infra merah yang tidak berdaftar atau mendapat kebenaran akses dalam pasaran.

“Adalah diingatkan bahawa KKM melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP) akan terus memantau situasi ini dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana perlanggaran undang-undang sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737),” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close